Program ‘Ka-C Ja-D Ba’ UiTM Cawangan Sabah

TAWAU, 18 FEBRUARI 2022 – Program ‘Ka-C Ja-D Ba’ siri pertama UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau telah dilaksanakan pada 18 Februari 2022 yang lepas. ‘Ka-C Ja-D Ba’ merupakan program perkongsian ilmu bersiri di kalangan staf pentadbiran yang dirancang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2022.

Encik Jemat Julaihi@Basri, Pembantu Makmal, Unit Makmal Sains telah terpilih  sebagai penceramah pertama program ‘Ka-C Ja-D Ba’ tahun 2022 bermula pada jam 8.30 pagi. Beliau telah berkongsi ilmu yang bertajuk Penggunaan Mikroskop.

Antara kata kunci dalam perkongsian penceramah pertama tersebut adalah pengenalan mikroskop, jenis-jenis dan fungsi setiap bahagian penting yang terdapat pada sebuah mikroskop. Encik Jemat memiliki pengalaman selama 11 tahun sebagai pembantu makmal di UiTM. Beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Pertanian Sarawak Daerah Lawas sebagai Penguasa Pertanian (Bahagian Pengembangan) selama 2 tahun.

Program ‘Ka-C Ja-D Ba’ diteruskan pada sesi petang dengan tajuk Penyelenggaraan Automotif yang disampaikan oleh Encik Muhammad Anas Abdul Muis, Pembantu Operasi, Unit Pentadbiran. Sebelum berkhidmat di UiTM beliau telah bekerja selama 8 tahun dalam industri automotif sebagai Juruteknik Automotif di Negara Brunei Darussalam. Melalui perkongsian ilmu Encik Muhammad Anas tersebut, staf diberikan pendedahan tentang asas penyelenggaraan enjin kenderaan bermotor dengan informasi terkini dan bahasa yang mudah difahami.

Sesi kedua telah berakhir pada kira-kira jam 3.30 petang. Menerusi program sebegini, staf yang terlibat akan sama-sama menambah ilmu pengetahuan dan lebih cakna dengan kemahiran berkaitan bidang tugas seorang staf setiap unit yang ada di UiTM.