Program Jom Masuk IPT Zon 3 Sarawak 2022 Buka Peluang Calon Lepasan SPM, STPM Dan Setaraf

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah diberi penghormatan menjadi penganjur utama dalam menjayakan program Jom Masuk IPT Zon 3 Sarawak 2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia. Program ini akan diadakan pada 19 dan 20 Februari 2022 (Sabtu dan Ahad) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) dan akan dirasmikan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak yang diwakili oleh YB Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat serta dihadiri oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM.

Calon lepasan SPM, STPM dan setaraf dengannya akan memperolehi serba sedikit pendedahan dan maklumat mengenai program pengajian yang ditawarkan oleh Insitusi-Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Pelbagai maklumat dan pendedahan akan dikongsikan oleh wakil-wakil IPT yang terbabit seperti Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA). Pelajar boleh berurusan terus dengan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) yang akan menguruskan Sistem UPU dan juga penganjur program ini.

Jom Masuk IPT Zon Sarawak 2022 ini melibatkan penyertaan sebanyak 21 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan sebanyak 24 buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dijangka akan turut serta sepanjang program ini diadakan. Antaranya adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), UCSI University, Kolej Segi Sarawak, MAHSA University dan banyak lagi IPTA atau IPTS yang lain. Program ini juga disertai oleh beberapa buah Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Agensi atau Kementerian seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Simpanan Nasional (BSN), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Malaysia Qualifications Agency (MQA). Program selama 2 hari ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik seperti Pameran Pendidikan Tinggi, Taklimat Kerjaya & Sesi Interaktif, IPT BUZZ, cabutan bertuah dan banyak lagi.

Semua calon lepasan SPM, STPM dan setaraf dengannya dijemput untuk mengambil peluang ini bagi mengintai program pengajian yang ditawarkan selain berpeluang menyertai pelbagai aktiviti- aktiviti lain yang turut akan diadakan. Sila hubungi pihak penganjur di talian 082-678200, Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA) selaku urusetia bagi mendapatkan maklumat lanjut program ini.