MACHANG, 17 Mei 2023 – Pihak Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. telah mengadakan Siri Jelajah ke UiTM Cawangan Kelantan bagi program di bawah CEO@Faculty Programme iaitu dengan penganjuran program taklimat bersama pelajar pada 9 Mei 2023. Pihak Al-Ikhsan juga telah mengadakan aktiviti berbentuk CSR dengan memberi sumbangan kepada 10 orang penerima yang terdiri daripada mahasiswa, staf dan juga komuniti yang merupakan golongan asnaf. Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan dan berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman, kejayaan dan pengiktirafan Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. yang terkenal sebagai syarikat peruncitan barangan sukan terbesar di Malaysia kepada para pelajar dan pensyarah. Pendedahan berkaitan peluang pekerjaan yang disediakan oleh Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. kepada bakal graduan demi membantu komuniti setempat dalam menangani permasalahan berkaitan isu sosial dan ekonomi juga turut dikongsikan bersama.
Pengarah program pada kali ini ialah Dr. Nazhatul Sahima Mohd Yusoff, dan program ini telah berlangsung dengan jayanya. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan, dengan kehadiran peserta seramai 104 orang yang terdiri daripada pelajar UiTM cawangan Kelantan, staf UiTM Cawangan Kelantan iaitu pensyarah, Ketua Pusat Pengajian (KPP) dan juga Penyelaras Latihan Industri serta staf pentadbiran dan juga komuniti. Program ini bermula pada pukul 1:30 petang dan tamat pada pukul 5:00 petang.
Perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), UiTM Cawangan Kelantan iaitu Encik Meer Zhar Farouk Amir Razli. Program diteruskan dengan sesi perkongsian dari wakil Al-Ikhsan Sports Sdn.Bhd. iaitu Encik Muhammad Alif Ismail, Exec. CSR dan Encik Mohd Norazlan A. Adam, Exec. HRBP. Banyak ilmu yang bermanfaat telah dikongsi oleh para penceramah kepada peserta-peserta program. Semoga program ini dapat dijalankan secara berterusan dan melibatkan lebih ramai penyertaan agar ilmu yang diperolehi dapat dijana ke arah kebaikan kepada UiTM khususnya dan kepada negara amnya.