PERLIS, 19 Jun 2023 – Program Jam Matahari dan Pengenalan Sistem Suria diadakan pada 18 Jun 2023 bertempat di Dewan Cengal, kampus UiTM Cawangan Perlis. Program ini merupakan anjuran Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perlis bersempena Karnival Geomatik 2023. Program ini bertujuan memberikan pendedahan asas dan menarik minat bidang astronomi kepada pelajar sekolah rendah.
Seramai 56 orang kanak-kanak telah menyertai program ini. Hadir sama ialah Sr Dr Rohayu Haron Narashid (Ketua Pusat Pengajian), Sr Ashnita Rahim (Koordinator Program) dan Ahli Jawatankuasa Induk Karnival Geomatik 2023. Sesi program Jam Matahari dan Pengenalan Sistem Suria pada tahun 2023 ini disampaikan oleh Sr Hajjah Syarifah Norasyikin Bohari selaku penceramah dan dibantu oleh fasilitator pelajar semester 2, Diploma Sains Ukur dan Geomatik (AP120) seramai 20 orang.
Sepanjang program berlangsung, penceramah mengajar cara membuat jam matahari dengan menggunakan bahan yang mudah didapati dan murah bagi membuat jam matahari. Para peserta turut diberikan pendedahan sistem suria dan aktiviti mengenali planet-planet dengan menggunakan model bahan yang disediakan oleh penganjur. Pada akhir sesi program, majlis penyampaian hadiah diberikan kepada para peserta yang berjaya menghasilkan produk Jam Matahari yang terbaik selain mendapat cenderahati kepada semua peserta.
Semoga program Jam Matahari dan Pengenalan Sistem Suria bersempena Karnival Geomatik ini dapat diteruskan lagi pada masa depan dan dapat memberi manfaat kepada semua.