Perasmian Karnival Geomatik dan GEORUN 2023

PERLIS, 17 Jun 2023 – Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perlis telah berjaya menganjurkan Karnival Geomatik dan GEORUN yang bertempat Anjung Siswa, kampus UiTM Cawangan Perlis. Ybrs Prof Madya Dr Ahmad Nizan Mat Noor, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) mewakili Ybhg Rektor UiTM telah menyempurnakan majlis perasmian program ini. Hadir sama ialah Sr Dr Rohayu Haron Narashid (Ketua Pusat Pengajian), Sr Ashnita Rahim (Koordinator Program), Sr Mohd Azril Che Aziz, (Pengarah Program), Puan Suhaila Hashim (Timbalan Pengarah Program), Ahli Jawatankuasa Induk Karnival Geomatik 2023, barisan pensyarah Kolej Pengajian Alam Bina, para pelajar dan peserta GEORUN 2023.

Ybrs Prof Madya Dr Ahmad Nizan Mat Noor, menyambut baik dan menyokong penuh penganjuran program seperti GEORUN seperti ini kerana memberi peluang kepada semua pelajar serta orang ramai untuk meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan gaya hidup yang sihat. Tambahan lagi, beliau mengucapkan jutaan tahniah dan syabas atas penganjuran Karnival Geomatik kali kedua ini dengan pengisian program telah dirancang antaranya, senam aerobik, pameran daripada pelbagai agensi luar, forum falak, demo drone (UAV), aktiviti jam matahari dan jualan makanan. Dalam masa yang sama, program Karnival Geomatik kali ini turut mendapat jemputan bagi Majlis Cerapan Rukyah Hilal Zulhijjah 1444H dan Forum Safar Ilmu anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan kerajaan negeri Perlis yang akan berlangsung pada Ahad, 18 Jun 2023 bertempat di Menara Pandang, Majlis Al-Hussain, Kuala Perlis.

Selesai ucapan perasmian Karnival Geomatik dan GEORUN, Ybrs Prof Madya Dr Ahmad Nizan Mat Noor membuat gimik pelepasan peserta GEORUN iaitu seramai 200 orang peserta di hadapan Anjung Siswa. Sesi penyampaian hadiah kepada peserta diadakan sejurus selesai larian dan melibatkan tiga kategori iaitu, kategori Lelaki (Seramai 8 orang), Kategori Perempuan (Seramai 8 orang), dan Kategori Kanak-Kanak (Seramai 12 orang).

Bagi pihak Kolej Pengajian Alam Bina mengucapkan jutaan terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang telah menjayakan program ini. Semoga program Karnival Geomatik ini akan berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan dan dapat memberi manfaat kepada semua.