Program Jalinan Muhibah Fakulti Pengurusan Dan Perniagaan: Wacana Kepada Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswa

Pada 12 April 2023, program Jalinan Muhibah Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan bersama Pemimpin-Pemimpin Mahasiswa FPP yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan dan kelab dalaman FPP diadakan. Ianya berlangsung di Dewan Kuliah 12, Bangunan FSK7, UiTM Kampus Puncak Alam. Program ini juga diserikan dengan kehadiran oleh Yang Berusaha Dato’ Profesor. Dr. Mohammad Shatar bin Sabran, Ketua Pengarah Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA).

Program ini dimulakan dengan amanat daripada Profesor Dr. Firdaus Abdullah, Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Beliau mengalu-alukan kehadiran Yang Berusaha Dato’ Profesor. Dr. Mohammad Shatar bin Sabran, diatas kesudian beliau menghadiri program ini. Beliau menyatakan bahawa, para pemimpin mahasiswa haruslah sentiasa cakna dalam visi, aspirasi dan misi UiTM dalam menjayakan pelbagai program dan aktiviti di peringkat fakulti, kebangsaan dan antarabangsa. Kecemerlangan semua mahasiswa bukan sahaja meliputi aspek akademik, tetapi aspek-aspek lain yang boleh membentuk mahasiswa menjadi insan yang terbaik.

Menerusi sesi bersama Yang Berusaha Dato’ Profesor. Dr. Mohammad Shatar bin Sabran, beliau membuat perkongsian berkenaan isu “Graduate Employability among Fresh Graduate: Expectation vs Reality”. Perkongsian peribadi beliau kepada para mahasiswa dilihat boleh menjadi nilai tambah yang berguna kepada mereka. Menerusi sesi soal jawab dengan para mahasiswa, beliau telah memberikan banyak tips dan motivasi yang berguna kepada para mahasiswa. Sesi ini sangat memberi inspirasi kepada pembentukan jati diri pemimpin mahasiswa kerana pemimpin yang cemerlang dipupuk bukan sahaja di peringkat pengajian universiti, tetapi juga menjadi wadah insaniah yang penting ketika melangkah ke alam pekerjaan kelak.

Program Jalinan Muhibah ini diakhiri dengan slot menandatangani buku “Anak Melayu Melakar Sejarah”, hasil karya Yang Berusaha Dato’ Profesor. Dr. Mohammad Shatar bin Sabran. Karya penulisan yang berkisarkan tentang liku-liku kehidupan beliau sesuai dijadikan sebagai motivasi kepada para mahasiswa untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup.