Bengkel Program Kemahiran ICT Warriors: Pembangunan Komuniti Belia Digital (B40), telah diadakan pada 24-25 November 2022 bertempat di Hotel BME, Sri Aman, Sarawak.
Bengkel yang berlangsung selama 2 hari ini berlangsung dengan jayanya dan disertai seramai 25 orang peserta dari golongan belia kategori B40 yang menetap di daerah Sri Aman. Majlis penutupan program ini telah dihadiri dan disempurnakan oleh Pegawai Daerah En Syarif Bin Bujang yang mewakili YB Puan Dayang Noorazah binti Haji Awang Sohor ADUN N28 semasa majlis penutupan. Wakil daripada Persatuan Wanita (PEWANI) cawangan Sarawak dan Koordinator Jaringan Komuniti UiTM Cawangan Sarawak juga hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.
Tujuan bengkel ini dianjurkan adalah untuk memberi pendedahan asas berkenaan dengan kemahiran pengurusan perkakasan dan membaik pulih komputer serta memupuk minat mereka untuk menceburi bidang perniagaan yang berunsurkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ini adalah selaras dengan agenda kelestarian bagi memastikan golongan belia B40 ini tidak keciciran dalam mendapatkan peluang dan seterusnya mampu menjana pendapatan sampingan dalam memberikan perkhidmatan berkaitan ICT. Usaha ini amat penting dalam merealisasikan matlamat kerajaan negeri yang selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) yang dikeluarkan United Nation (UN) iaitu membanteras kemiskinan, hak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti, dan berusaha untuk meningkatkan ekonomi rakyat.
YB Puan Dayang Noorazah amat menyokong penuh program seumpama ini dianjurkan dan ini adalah hasil daripada kerjasama pelbagai pihak demi memastikan golongan belia ini terus maju Kehadapan dalam menambah ilmu pengetahuan.
Dr Azlina Bujang selaku Koordinator Jaringan Komuniti, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) UiTM Cawangan Sarawak berharap agar peserta bengkel ini dapat memanfaatkan ilmu yang dicurahkan dan mencari peluang untuk menceburkan diri di dalam bidang ekonomi selaras dengan aspirasi kerajaan negeri Sarawak yang berasaskan teknologi digital dan seterusnya dapat mengubah taraf hidup mereka. Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak termasuklah Pejabat Daerah Sri Aman, Majlis Daerah Sri Aman (MPSA), Giat MARA dan Pejabat MARA, Sri Aman di atas kerjasama yang telah diberikan bagi menyokong kelancaran program pada kali ini.
Puan Zainon binti Haji Bibi, selaku Ketua Projek berharap program seumpama ini akan diteruskan lagi di kawasan-kawasan lain dengan penambahbaikan pada modul- modul yang akan disampaikan pada masa akan datang.