PROGRAM IBADAH QURBAN UiTM CAWANGAN SABAH KAMPUS TAWAU RAPATKAN UKHWAH SESAMA INSAN

TAWAU, 30 Jun 2023 – Buat julung kalinya, sebagai tanda mensyukuri segala nikmat anugerah daripada Allah SWT, di samping merapatkan jalinan ukhwah, mewujudkan rasa mahabbah sesama insan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau telah menganjurkan Program Ibadah Qurban 1444H/2023M sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2023.

Seawal jam 7.00 pagi, program dimulakan dengan bacaan doa bersama peserta ibadah qurban yang telah dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Dr. Azmin Pullong agar program qurban berjalan dengan lancar dan mendapat keberkatan.

Dalam pada itu, sebanyak tiga ekor lembu telah disempurnakan penyembelihan dalam melaksanakan ibadah qurban yang melibatkan penyertaan di kalangan staf UiTMCSH Kampus Tawau dan ahli keluarga masing-masing. Pengagihan daging qurban telah melibatkan seramai 84 penerima daripada golongan asnaf dan fakir miskin yang memerlukan di sekitar kawasan daerah Balung.

Sementara itu, sambutan penuh makna ini turut diserikan dengan kehadiran Koordinator Kampus, UiTMCSH Kampus Tawau, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling bersama-sama warga kampus yang seterusnya telah menyempurnakan agihan kepada penerima daging qurban.

β€œAlhamdulillah, Program Ibadah Qurban hari ini berjalan dengan lancar, terima kasih kepada semua peserta serta warga UiTM yang bersama-sama menjayakan program hari ini, dalam masa yang sama hubungan silaturahim sesama insan tidak kira latar belakang dapat dieratkan lagi”, kata Haji Muliyadi.

Pada waktu yang sama, menurut salah seorang peserta ibadah korban, Encik Jemat Julaihi Basri, mengakui sangat teruja kerana ini adalah pengalaman pertama beliau dalam melaksanakan ibadah qurban secara langsung (berdepan).

β€œSebagai Muslim, ibadah qurban kali ini mengajar saya erti sebuah pengorbanan dan rasa bersyukur kerana dapat menggembirakan golongan yang memerlukan dengan berkongsi rezeki dari segi sumbangan daging korban,” ujarnya lagi.

Akhirnya, program ini telah mencapai matlamat penganjurannya iaitu untuk merapatkan jalinan ukhwah antara warga UiTMCSH Kampus Tawau dengan masyarakat setempat dalam misi melaksanakan ibadah qurban secara ‘berjemaah’ di samping bermahabbah sesama insan.