SUNGAI BULOH, 16 April 2023 – Program Food For Life bersama gelandangan ini merupakan inisiatif murni dari Jawatankuasa Perwakilan Kolej UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan bagi merapatkan hubungan diantara para pelajar bersama golongan gelandangan pada bulan Ramadan yang mulia ini melalui perkongsian rezeki dan memberikan perkhidmatan kesihatan secara percuma kepada mereka. Program ini telah dijalankan di Anjung Kembara ,Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur bermula jam 3.30 petang sehingga jam 8.00 malam. Program ini bertemakan ‘Help For Those In Needs’
Jawatankuasa Perwakilan Kolej UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan amat berbesar hati kerana telah diberi peluang oleh pihak pengurusan kampus untuk menganjurkan program amal ini. Dengan keadaan ekonomi sekarang, ramai masyarakat
berjuang untuk menyara diri dan keluarga mereka dan sebahagian daripada mereka akhirnya terpaksa menjadi gelandangan kerana tidak dapat menampung kos hidup yang tinggi terutamanya apabila berada di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Ramai generasi muda pintar dan berpendidikan, selain mempunyai tahap kesedaran tinggi kepada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Ianya merupakan satu manifestasi atau terjemahan komitmen tanggungjawab sosial sesebuah Institusi Pendidikan terhadap masyarakat. Komitmen kepada program CSR diusahakan ini khusus bagi meningkatkan kesedaran masyarakat kepada golongan gelandangan ini dan membantu individu ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab pelajar. Oleh yang demikian, program ini telah memberikan impak yang baik kepada masyarakat dan telah dapat meyakinkan golongan ini yang mereka tidak disisihkan dan diabaikan. Program ini telah disertai seramai 90 orang yang terdiri daripada 33 orang Ahli Jawatankuasa Perwakilan Kolej (pelajar dari Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian), penglibatan 7 orang Staf Residen Kolej (SRK) dan telah melibatkan penghuni pusat transit gelandangan seramai 50 orang. Program ini juga telah berkolabrasi bersama Naif Charity dan UiTM Students Surgical Skills Association (U.S.S.A)
Program ini juga telah dapat dilaksanakan dengan lancar dimulakan dengan pemeriksaan kesihatan (Blood Pressure, Blood Glucose, BMI) yang ditawarkan secara percuma kepada semua golongan gelandangan. Setelah selesai pemeriksaan kesihatan, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar mengagihkan makanan berbuka puasa kepada semua yang hadir. Majlis diteruskan dengan Majlis Penutup yang disempurnakan oleh Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Penolong Rektor UiTM Kampus Sungai Buloh, Selayang & Teluk Intan. Program diakhiri dengan pemberian sumbangan kepada wakil Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan disamping dapat merapatkan hubungan sesama masyarakat dan pelajar universiti. Selain itu, ianya dapat memupuk sifat ihsan dalam kalangan pelajar terhadap nasib golongan gelandangan yang terpinggir daripada masyarakat dan dapat memberikan manfaat kepada mereka khususnya.