Bukit Lanjan – Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat “Faith over Fear”, pemindahan ilmu dan STEM di Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan, Petaling Jaya. Pelbagai aktiviti telah diadakan bagi menyantuni warga sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan, ibu bapa dan komuniti orang asli, Desa Temuan. Antara pengisian Program “Faith over Fear” adalah aktiviti “Science, technology, engineering and mathematics” (STEM), Breast Cancer Awareness Program (BCAP), aktiviti senamrobik dan aktiviti keusahawanan.Aktiviti telah dimulai seawal 8.00 pagi dengan senaman robik yang dipimpin oleh pengarah program, Cik Ellen Eugenea M Taguah, pelajar Sarjana Muda Pengimejan Perubatan, UiTM.
Seiring dengan peribahasa badan cergas otak cerdas, murid-murid darjah tahap 1 telah didedahkan dengan cara untuk mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan hand sanitizer serta cara menggosok gigi dan mandi yang betul. Latihan amali turut sama dijalankan bagi menarik minat murid-murid dalam aspek penjagaan kesihatan diri. Pengetahuan dan kemahiran mengenai aspek-aspek kebersihan ini amatlah wajar ditekankan kepada golongan sasaran ini memandangkan generasi muda harus dididik dan diterapkan mengenai kepentingan penjagaan kebersihan dan kesihatan dari seawal usia di bangku sekolah.
Dalam usaha memupuk minat dalam bidang sains dan teknologi di kalangan murid sekolah rendah,aktiviti berkumpulan yang berteraskan STEM turut dijalankan dikalangan murid-murid tahap 2. Antara aktiviti yang dijalankan adalah Spelling BEE dan Know Your Skeletal. Aktiviti ini berpaksikan elemen pemindahan ilmu yang dirancang bagi membantu meningkatkan pengetahuan murid-murid dalam bidang sains dan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Aktiviti berkonsepkan ‘belajar sambil bermain’ diharap dapat menarik minat serta memberi kesedaran kepada murid-murid. Aktiviti ini dikendali oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda serta kakitangan dari Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan.
Selain itu, ceramah kesedaran kanser payudara turut disampaikan oleh Puan Rafidah Supar, pensyarah Pengimejan Perubatan, UiTM, yang telah dihadiri oleh guru-guru Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan, ibu-bapa dan warga Desa Temuan. Ceramah ini bertujuan memperkasakan kesedaran kanser payudara dan langkah pengesanan awal seperti pemeriksaan sendiri payudara, pemeriksaan mamogram, dan pengimejan ultrasound. Para hadirin turut disajikan dengan demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara bagi membantu para wanita mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang perubahan pada payudara mereka. Perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan kesedaran berkaitan penyakit kanser payudara dan kepentingan pemeriksaan awal bagi mencegah penularan sel kanser. Sebelum ceramah berlangsung, sesi temubual bersama para ibu dan guru telah dijalankan bagi mengukur tahap pengetahuan mengenai kanser payudara dan langkah-langkah pengesanan. Program berkaitan kesedaran kempen payudara ini telah dilangsungkan sebanyak dua fasa. Fasa pertama adalah ketika Program Faith over Fear berlangsung iaitu pada 10 Jun 2023. Fasa kedua pula telah dijalankan bermula 15 Disember 2023 sehingga 15 Januari 2024 dimana ianya melibatkan sesi temubual bersama para ibu dan guru yang terlibat dalam temubual fasa pertama. Matlamat program yang dijalankan secara berfasa ini adalah untuk menilai tahap keberkesanan program yang telah berlangsung dan seterusnya dapat diaplikasikan oleh golongan wanita.
Seterusnya, hadirin turut disajikan dengan ceramah gaya hidup sihat oleh Dr Ahmad Danial bin Ahmad Shahrir, pegawai perubatan unit Pengimejan Nuklear, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia. Kesedaran golongan ibu bapa dan para pelajar amat penting bagi memastikan amalan gaya hidup sihat dapat dimanfaatkan bermula dari rumah. Aktiviti menceriakan persekitaran sekolah turut diadakan dengan lukisan mural oleh para pelajar dan staf pengimejan perubatan bagi menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah.
Program ini telah disertai oleh lebih 300 peserta yang terdiri daripada murid-murid, para guru, dan ibu bapa. Program ini adalah salah satu program University Social Responsility (USR) pusat pengajian yang diadakan setiap tahun di kawasan berlainan. Program ini turut mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat korporat seperti Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Suka Dessert, ASiC Offshore and Marine Sdn Bhd, Avant Med Sdn Bhd, Yakult, Hydra Admiral, Glotel Sdn Bhd, Hawari Hanafi and Co dan MyBuku.com. Program ini diharapkan dapat mencapai objektif yang telah disasarkan dan dapat dijalankan secara berterusan supaya dapat melahirkan lebih ramai bakat dan modal insan dalam bidang STEM untuk membantu proses pembangunan dan kemajuan negara, disamping penekanan kepada aspek kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
Penerangan Gambar :
G1: Sesi penyerahan cenderahati “Faith over Fear” dari Dekan Fakulti Sains Kesihatan Prof. Dr Zulkhairi Hj Amom kepada Puan Fazilawati binti Abu Bakar, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan.
G2: Peserta-peserta program “Faith over Fear” bersama dengan pihak sekolah dan jawatankuasa penggerak.
G3: Sesi demonstrasi memberus gigi kepada murid-murid tahap 1.
G4: Sesi ceramah kesedaran kanser payudara oleh Puan Rafidah Supar, Pensyarah Pusat Pengajian Perubatan.