Sabak Bernam, 11 Januari 2024 – UiTM Cawangan Selangor (UCS) telah menganjurkan Program ‘Expedicom-UCS Community Engagement’ di UiTM Living Lab@Sabak Bernam. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada komuniti melalui pemindahan teknologi penghasilan sabun organik ekoenzim menggunakan sisa produk tanaman kepada komuniti agritourism di Kawasan Sungai Panjang dan teknologi penghasilan klon kultur tisu kepada petani di Sungai Air Tawar, Daerah Sabak Bernam. Melalui program SULAM dan pemindahan teknologi bersasar, kerjasama jangka panjang yang berimpak di antara pelajar dan penyelidik UiTM, pelajar dan penyelidik antarabangsa, industri dan komuniti dapat diperkasakan di bawah inisiatif Projek UiTM Living Lab@Sabak Bernam.
Program inovasi sosial ini turut melibatkan kerjasama Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Farmasi, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin dengan kerjasama Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati (UIN SGD), Indonesia dan industri setempat yang terdiri daripada Nazbell Cottage Worldwide, Big River Agrofarm Sdn. Bhd., Sungai Panjang Agro Tourism Sdn. Bhd. (SPAT) dan Persatuan Integrasi Komuniti Usahawan Muda (PIKOM).
Kursus Penghasilan Sabun Organik Ekoenzim dianjurkan di Nazbell Cottage Worldwide, Sungai Panjang, Sabak Bernam oleh barisan penyelidik UiTM dari Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Farmasi dan juga Fakulti Perladangan dan Agroteknologi yang diketuai oleh Ts. Chm. Dr. Wan Zuraida Wan Mohd Zin dan juga penyelidik dari Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati (UIN SGD), Indonesia yang mempunyai kepakaran dalam bidang kimia sebatian semulajadi. Dalam masa yang sama, Program i-SULAM yang melibatkan pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Agroteknologi (Bioteknologi Tumbuhan), Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM serta pelajar antarabangsa dari Indonesia dan Nigeria telah menjalankan program pemindahan teknologi dan pengetahuan tentang penghasilan klon tisu kultur kepada komuniti petani di Mukim Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.
Hadir di Majlis Perasmian, YB. Datuk Hj. Rizam Bin Hj. Ismail, Pengerusi SABDA (Inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam) yang juga merupakan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna Negeri Selangor. Daerah Sabak Bernam telah dinobatkan sebagai UiTM Living Lab pada 11 Ogos 2023 bagi membantu komuniti setempat ke arah pemerkasaan kualiti ekonomi dan kehidupan. Matlamat UiTM Living Lab ini adalah untuk menjadikan Komuniti Sabak Bernam sebagai komuniti angkat bertujuan untuk memperkasakan kualiti kehidupan, sosioekonomi, pendidikan, pertanian, agropelancongan dan kesejahteraan komuniti di Sabak Bernam, Selangor melalui penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan oleh penyelidik UiTM.
#UCSCemerlang