Program Eco School 2.0 Anjuran UiTM Cawangan Perlis

6 Julai 2024 – Program Eco School 2.0 merupakan program tanggungjawab sosial komuniti (CSR) yang melibatkan kerjasama antara Ecopro Training Centre-Kebun Abi, Perlis dan sukarelawan Projek Anak Didik. Program yang juga melibatkan 2 orang pensyarah UiTM Cawangan Perlis sebagai pembantu fasilitator ini  bertempat di Kebun Abi, Kg. Nesam, Perlis.

Eco School 2.0 adalah usaha sukarelawan tempatan untuk mengajar kemahiran 3M: Membaca, Menulis dan Mengira kepada kanak-kanak yang keciciran tiga kemahiran ini. Peserta program terdiri daripada 10 orang kanak-kanak yang terpilih sekitar Perlis.  Kelas diadakan di sekitar Kebun Abi bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak dengan alam sekeliling sambil membuat aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan.

Peserta program dibawa berjalan kaki mengelilingi kebun sambil mencari, mengenalpasti dan mencatat nama serta ciri-ciri beberapa haiwan yang ada dikebun seperti kambing, ayam, ikan, itik dan angsa. Peserta juga perlu menamakan serangga dan haiwan liar yang dijumpai sepanjang perjalanan seperti tupai liar dan burung-burung.  Selain itu, mereka juga dibawa ke sawah padi untuk belajar tentang penanaman padi secara lestari sebelum mencipta Mr. Mud Man daripada lumpur.

Program Eco School 2.0 ini bukan sahaja dapat memupuk kesedaran kepentingan 3M dikalangan kanak-kanak, tetapi ia juga berjaya mendekatkan kanak-kanak dengan alam sekeliling secara tidak langsung. Dalam masa yang sama, pihak universiti juga turut dapat membina jaringan kerjasama di antara ahli akademik dan komuniti sasaran.