Program CSR Bersama Anak Yatim HOME TUARAN Anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej UiTM Cawangan Sabah

Tuaran , 22 Mei 2022 – Program Khidmat Masyarakat (Corporate Social Responsibility – CSR) yang dijalankan di HOME TUARAN – Rumah Anak Yatim yang menempatkan seramai 23 orang anak yatim dan miskin yang terletak di daerah Tuaran, di Kawasan Kg. Bolong Tuaran. Program anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej UiTM Cawangan Sabah disertai seramai 24 Pemimpin Pelajar dan diiringi 5 Staf Residen Kolej UiTM Cawangan Sabah iaitu Encik Azry John, Encik Ahmad Ghazali Ismail, Encik Kaffali Pendik, Encik Asley Josly dan Puan Nurul Huda Roslan. Program CSR bertujuan untuk berkongsi kepakaran pelajar dengan komuniti, membantu komuniti, memberi manfaat, dan memupuk perasaan muhibah antara komuniti dan warga UiTM Cawangan Sabah.

Program CSR yang diketuai oleh Saudari Fatinnadia Afrina binti Mohd Rais, Jawatankuasa Perwakilan Kolej UiTM Cawangan Sabah berasa amat bersyukur dengan pelaksanaan program ini, mahasiswa melahirkan perasaan bertimbang rasa dan keprihatinan terhadap komuniti tanpa mengira agama, bangsa, kepercayaan dan ideologi. Selain penyampaian sumbangan yang sedikit sebanyak membantu meringankan dan memudahkan pembelajaran adik – adik di HOME TUARAN, terdapat aktiviti bersama para penghuni HOME TUARAN yang terdiri dari pelajar lelaki lingkungan umur 10 – 16 Tahun.

Penasihat Program, Puan Nurul Huda Roslan, Staf Residen Kolej menyatakan melalui program ini, mahasiswa mampu memupuk rasa kasih sayang dan tanggungjawab terhadap komuniti, anak yatim dan miskin. Selain itu, melalui aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bersama penguni HOME TUARAN, mahasiswa dapat berkongsi kepakaran, mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan meningkatkan kesedaran sivik dalam diri setiap individu.

Program CSR ini telah dirasmikan oleh Encik Azry John, Ketua Staf Residen Kolej UiTM Cawangan Sabah. Penghargaan terima kasih kepada Pengurusan Kanan UiTM Cawangan Sabah, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah dan semua penyumbang yang membantu dalam menjayakan program CSR ini. Diibaratkan sebagai condong ditumpil, lemah dianduh. Antara sumbangan yang telah diberikan adalah berupa beras, makanan, barang keperluan pembelajaran, alat tulis dan peralatan pembersihan seperti yang diperlukan oleh pihak HOME TUARAN.