Disebalik cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh negara bagi menangani pandemik COVID-19, barisan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Jasmine UiTM Kampus Puncak Perdana telah mewujudkan satu program sebagai satu usaha untuk melahirkan sebuah penghargaan kepada petugas barisan hadapan ataupun lebih dikenali sebagai frontliners. Program yang diberi nama ‘COVID-19 Youth Voice’ ini mengajak seluruh mahasiswa institut pengajian tinggi untuk melahirkan pendapat dan suara hati dengan menggunakan penulisan yang berseni dan bermakna serta memberi manfaat kepada setiap individu yang membacanya.
Program yang berlangsung dari 21 November 2020 sehingga 4 Disember 2020 ini disertai seramai 38 orang mahasiswa dari kampus dan fakulti yang berbeza. Para peserta dikehendaki menulis atau mencipta mesej, puisi atau esei pendek yang boleh memberi inspirasi dan kata-kata semangat (love message) kepada seseorang atau golongan yang terjejas kerana COVID-19. Ternyata, karya-karya yang dihasilkan oleh peserta amat memberi impak dimana ia mampu memupuk sifat cakna dan prihatin dalam diri mahasiswa terhadap golongan terlibat yang memerlukan sokongan dan kata-kata semangat sewaktu menempuh era wabak COVID-19 ini. Majoriti nukilan yang dihantar bersifat indah dan membina serta disini kita dapat menilai bahawa para mahasiswa masa kini berbakat besar dan berupaya untuk melangkah dengan lebih jauh. Dalam pada itu, dua peserta yang bertuah juga telahpun dipilih untuk menerima saguhati, tajaan daripada penasihat program sendiri iaitu Puan Nurul Huda binti Mustapha. Manakala, antara karya-karya yang terbaik telah pun dimuat naik oleh JPK Jasmine di serata laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Telegram rasmi JPK Jasmine bagi tujuan bacaan umum untuk dihayati.
Melihat daripada kejayaan program COVID-19 Youth Voice ini, pengarah program iaitu Nurul Aina Sofia berpendapat bahawa inisiatif ini sedikit sebanyak mampu memberi kelainan yang tersendiri demi memacu mahasiswa berfikiran kreatif dan inovatif disamping menyemai sikap prihatin terhadap masyarakat dan negara.