Program “BEVA Pre-Loved Sale and Recycle Campaign” Meraihkan Lagi FSPPPPreneur Days

SEREMBAN, 19 Disember 2023 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) bersama-sama pihak MASMED Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) telah menganjurkan program “BEVA Pre-Loved Sale and Recycle Campaign” yang telah dijalankan pada 18 sehingga 19 Disember di kawasan Foyer Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Kampus Seremban. Tujuan utama program ini adalah untuk mempromosikan cara hidup secara lestari dikalangan warga FSPPP dan UiTM Kampus Seremban dengan memanfaatkan penggunaan barangan yang boleh dikitar semula.

Program yang julung kali diadakan ini turut melibatkan jualan makanan oleh Exco Keusahawanan BEVA dibawah jenama BEVAEmpire dan diserikan dengan program advokasi berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh pelajar-pelajar semester 6 program AM226 dibawah kod kursus EVA630 (Sustainable Development Strategies). Dianggarkan seramai 300 orang pelajar dari Kampus UiTM Kampus Seremban telah menyerbu jualan pre-loved tersebut untuk mendapatkan pelbagai pilihan pakaian dan barangan keperluan seharian.

Seramai 30 orang pensyarah dan pelajar FSPPP telah mendermakan pelbagai jenis pakaian dan barangan yang boleh dikitar semula dan dijual semula pada harga mampu milik. Menurut Ketua Projek program ini, Saudari Dinah Zahirah Binti Zulkifli, keunikan program pre-loved anjuran persatuan BEVA adalah tawaran harga barangan yang cukup murah iaitu serendah RM1.00 dan turut menawarkan barangan berjenama dan premium. Disamping itu, program ini juga mendidik pengunjung untuk membawa beg membeli belah serta bekas makanan mereka sendiri bagi mengurangkan penggunaan plastik.

Hasil daripada jualan pre-loved tersebut, persatuan BEVA telah berjaya menjana pendapatan sendiri bagi menampung perbelanjaan untuk meneruskan aktiviti-aktiviti yang berteraskan kepada SDG. Pada masa yang sama hasil jualan turut dikongsi bersama para pelajar yang menyumbang pakaian dan barangan yang boleh dijual semula. Barangan yang tidak terjual dan yang didermakan sepenuhnya juga akan disalurkan terus kepada komuniti yang lebih memerlukan seperti golongan gelandangan di kawasan Seremban dan kerumah-rumah anak yatim atau pusat jagaan warga tua yang berada disekitar UiTM Kampus Seremban. Tindakan ini merupakan salah satu langkah strategik dalam memasyarakatkan program-program yang mempunyai elemen-elemen SDG.

Secara keseluruhannya, program ini telah memenuhi keperluan dua SDG yang utama iaitu SDG8 (Decent Work and Economic Growth), dan SDG12 (Responsible Consumption and Production). Program ini juga menepati pencapaian PI038 (Jumlah program berkaitan nilai-nilai ESI-iDART), serta PI MASMED dalam melahirkan Pelajar Usahawan yang menjalankan perniagaan di kampus dan fakulti. Namun yang paling penting, program ini telah berjaya mewujudkan kesefahaman dikalangan warga fakulti untuk sama-sama mewujudkan alam sekitar yang lebih mampan melalui aktiviti-aktiviti kitar semula.