Pasar Srikandi KTG

Pada 2 dan 3 Disember 2023 (Sabtu dan Ahad) yang lalu Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kompleks Tok Gajah UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menganjurkan program “Pasar Srikandi KTG”. Program ini merupakan hari berjual beli yang diadakan di Medan Selera Kompleks Tok Gajah Bersama dengan siswi dan vendor dari luar. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk menggalakkan aktiviti perniagaan serta memberi peluang mahasiswi melakukan aktiviti kesenian dan kebudayaan. Antara vendor dan siswi yang mengambil bahagian telah menjalankan perniagaan yang terdiri daripada juadah makanan, pakaian, aksesori, bahan ilmiah dan jenama produk kecantikan lokal yang terkenal The Raw.

Program ini juga membawa tema warisan kesenian yang mana di dalam program ini, Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kompleks Tok Gajah mengambil inisiatif mengetengahkan unsur-unsur budaya dan etnik seperti permainan rakyat, pakaian tradisional kaum di Malaysia dan juga  memartabatkan tulisan jawi. Program ini  telah digabungkan dengan beberapa lagi program sampingan iaitu Legasi Gaya Warisan dan Forum Asas Keusahawanan.

Selain daripada objektif program yang telah mencapai SDG8 bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta produktif di dalam urusan pengendalian jual beli,  program ini turut telah  mencapai PI 021 dan PI 023 dengan menerapkan nilai keusahawanan yang berimpak tinggi serta membantu para pelajar mengembangkan idea-idea bagi meningkatkan potensi diri dalam bidang perniagaan.

Program ini telah berjalan dengan lancar dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelajar siswi Kompleks Tok Gajah. Selain itu, program ini secara keseluruhan menerima maklumbalas yang baik daripada pihak vendor dan berminat untuk turut serta dalam program seperti ini lagi. Diharapkan program ini dapat memberi inspirasi kepada pelajar UiTM untuk lebih bergiat dengan kreatif dan proaktif pada masa akan datang.