Program “Automasi dan Pengoptimuman Sistem Penjadualan (Scheduling Automation and Optimization)” yang berbentuk taklimat pengurusan pentadbiran dan perkongsian ilmu telah berlangsung selama 2 jam bermula jam 3.00 petang sehingga 5.00 petang pada 29 Februari 2024 (Khamis) secara atas talian dengan menggunakan aplikasi Webex. Program ini merupakan inisiatif Jawatankuasa Pengurusan Peperiksaan (JPP) UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub dengan kerjasama antara Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, (KPPIM) serta Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.
Objektif program ini adalah seperti berikut:
- Memahami sistem penjadualan yang dilaksana di universiti
- Berkongsi maklumat daripada pakar luar yang berpengalaman dalam automasi dan pengoptimuman sistem penjadualan universiti-universiti terkemuka dalam negara.
- Mendapatkan ilmu pengetahuan berkaitan automasi penjadualan sistematik atau penjadualan sepenuhnya
- Memahami peranan dan sumbangan yang boleh diberikan berdasarkan skop tugas masing-masing bagi membolehkan automasi dan pengoptimuman penjadualan sistematik direalisasikan
- Menarik minat di kalangan pakar-pakar bidang dalam UiTM untuk bekerjasama dan membentuk kumpulan pakar bagi membolehkan automasi dan pengoptimuman penjadualan sistematik direalisasikan
Sesi perkongsian ini telah berjalan dengan lancar. Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada Dr Juhaida Ismail, Ketua Pusat Pengajian, KPPIM UiTM Cawangan Pahang. Sesi diteruskan dengan perkongsian dari penceramah jemputan. Penceramah untuk program ini ialah Prof. Ts. Dr. Mokhairi bin Makhtar yang merupakan Pengarah di Pusat Pengurusan Kecemerlangan dan Inkubator Penyelidikan (CREIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Beliau telah menerangkan konsep automasi dan sistem penjadualan. Banyak input, perkongsian dan idea telah disampaikan oleh penceramah. Beliau juga berkongsi mengenai pengalaman mengurus automasi dan pengoptimuman sistem penjadualan di beberapa universiti terkemuka dalam negara.
Jumlah peserta yang menyertai program ini adalah 85 orang yang terdiri daripada kalangan staf pentadbiran dan akademik dari UiTM Cawangan Perlis, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, UiTM Cawangan Shah Alam, UiTM Cawangan Perak, UiTM Cawangan Terengganu, UiTM Cawangan Kedah dan UiTM Cawangan Pahang.
Kewujudan automasi dan pengoptimuman sistem penjadualan sepenuhnya tentunya dapat membantu meningkatkan produktiviti semua pihak yang terlibat sekaligus mampu melonjakkan keupayaan mencapai halatuju universiti. Hasil program ini diharapkan kita dapat mengenal pasti warga UiTM yang mempunyai kepakaran, berminat dan bersedia memberi komitmen ke arah menambahbaik sistem penjadualan UiTM sedia ada. Program ini dapat memberikan impak positif serta penjelasan kepada semua peserta berkenaan automasi dan pengoptimuman sistem penjadualan universiti sepenuhnya justeru menuju ke arah penambahbaikan sistem penjadualan sedia ada UiTM. Seterusnya ke arah usaha merealisasikan automasi dan pengoptimuman sistem penjadualan sepenuhnya beserta mencapai hasrat sebagai universiti terkenal di seluruh dunia dengan pengurusan sistem penjadualan universiti bertaraf dunia.