MACHANG, 29 Januari – Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Bukit Tiu telah mengadakan program ‘ART CAMP: Fun with Doodle Art’ bertempat di Sekolah Kebangsaan Bukit Tiu pada 24 Januari 2024. Program ini telah melibatkan beberapa orang fasilitator terdiri daripada pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Alumni KPSK UiTMCK, 113 orang murid Tahap Dua serta para guru SK Bukit Tiu. Program ini berlangsung pada jam 8:00 pagi dan berakhir pada jam 1:00 tengah hari.
Program ini telah dihadiri bersama Ketua Pusat Pengajian KPSK, UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Nani Hartina Ahmad dan Encik Azlizam Samad, Guru Besar SK Bukit Tiu. Manakala fasilitator KPSK yang terlibat adalah Puan Rohaizan Mat Nashir@Mohd Nasir selaku Ketua Projek, Encik Junaidi Awang, Encik Hamdan Lias, Encik Yusof Daud@Ismail, Puan Aneeza Mohd Adnan, Puan Anis Ediana Mohd Fauzi, Puan Noor Hafiza Ghazali, Puan Siti Safura Zahari, Puan Nurin Elani Makrai, Puan Mazni Omar dan Puan Hartini Mohd Razali.
Buat julung kalinya, penganjuran program ini adalah untuk memberi pendedahan ilmu dan kepakaran pensyarah KPSK khususnya dalam bidang seni kepada murid-murid sekolah. Pemilihan kaedah perkongsian dan pengajaran lukisan ‘doodle’ yang bertemakan “Sekolahku” bertujuan untuk memberi satu pengalaman keseronokan dan terapi kepada murid melalui pembelajaran di luar bilik darjah.
‘Fun with doodle Art’ diterjemahkan melalui keterujaan, ekspresi dan luahan murid melalui lukisan yang dihasilkan. Murid didedahkan dengan cara penggunaan warna dan media yang bersesuaian mengikut kreativiti sendiri. Sasaran murid Tahap Dua iaitu Darjah 4, 5 dan 6 ini bertujuan untuk mencungkil bakat di samping melahirkan potensi diri dan keyakinan murid untuk lebih kreatif dalam pelbagai cara serta keupayaan. Bukan itu sahaja, ia dapat mencetuskan minat murid kepada seni berpandukan sukatan pelajaran dan tahap pembelajaran sekolah rendah.
Pengisian ini membantu murid mengisi masa lapang di sekolah dan di rumah dengan aktiviti yang berfaedah. Rentetan daripada itu, pihak sekolah dan pelajar dapat menggunakan hasil karya tersebut untuk keceriaan ruang yang menjurus kepada penambahan nilai keusahawanan diri melalui hasil jualan murid-murid.
Peserta program ‘Art Camp: Fun With Doodle Art’ telah memberikan kerjasama dan perhatian sepenuhnya sepanjang program berlangsung. Penyelaras program bagi pihak sekolah iaitu Puan Wan Shariza Wan Bharudin bersama guru-guru telah memberi kerjasama baik dengan memantau dan memastikan murid mengikut panduan dan arahan yang diberikan.
Pada akhir program, para murid telah diminta untuk memberi respon dengan berkongsi dan membentangkan karya ‘doodle’ mereka mengikut cara dan pemahaman masing-masing. Hasil lukisan ‘doodle’ semua murid akan dipamerkan di ruang dinding SK Bukit Tiu sebagai satu penghargaan atas kesungguhan dan ketekunan murid dalam menyiapkan hasil kerja mereka.
Program ini dilihat memberi impak dan kesan baik dari segi emosi murid kerana mereka dapat berfikir secara kreatif dan kritis. Ini sekaligus dapat meningkatkan semangat dan perkembangan murid untuk berfikir dengan lebih matang. Pihak KPSK berbesar hati mengadakan program jalinan kerjasama ini kerana maklum balas dan penerimaan yang baik daripada pihak sekolah sebagai asas permulaan kolaborasi dalam bentuk program ilmiah kepada murid sekolah. Melalui rakan strategik sebagai fokus utama, fungsi UiTMCK sebagai gedung ilmu diharapkan dapat diserapkan kepada komuniti setempat.
Penglibatan pensyarah dengan usahama Alumni KPSK UiTMCK dan juga komuniti setempat telah menghasilkan kesan yang positif dalam penganjuran program yang menjuruskan pengisian ilmu ini. Justeru, kolaborasi mantap ini dapat membina sahsiah dan melahirkan kreativiti untuk manfaat bersama di samping membuka peluang kerjasama erat Alumni KPSK walaupun telah menamatkan pengajian.
Guru Besar, Encik Azlizam Samad amat berbangga dan terharu dengan penglibatan murid serta berasa sangat bertuah dengan kehadiran pertama kali pihak KPSK UiTM Cawangan Kelantan dalam menganjurkan program seperti ini. Beliau turut berharap agar lebih banyak lagi program berbentuk kreatif dan inovatif dapat dijalankan pada masa hadapan.
Pautan Video Program: ‘ART CAMP: Fun With Doodle Art’