Produk Pelancongan Desa “Zoo RabbitLand”

Sektor pelancongan desa merupakan salah satu aktiviti ekonomi yang mampu memberi tujahan besar kepada pembangunan ekonomi masyarakat desa. Rabbitland Jengka yang diasaskan pada tahun 2019 oleh anak jati Sik, Kedah ini telah bertapak di Felda Jengka 14, Maran, kini menjadi tarikan utama sebagai destinasi rekreasi pelancongan keluarga di Daerah Maran dan sekitarnya. Zoo Rabbitland yang berkeluasan 5 ekar ini bukan sahaja menjadi lokasi hidupan pelbagai spesis haiwan didalamnya, malah persekitarannya juga dirancang menjadi satu lanskap yang amat menarik, hasil sentuhan kreatif pemilik zoo, Encik Mohd Rafi Ekramuddin.


Gambar 1: Antara paparan video yang menarik disaluran Youtube Zoo RabbitLand Jengka

Susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah terjalin di antara Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang dan Syarikat Sharali Holdings Sdn Bhd pada awal tahun 2020, sekumpulan pensyarah yang terdiri daripada pensyarah daripada Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Sains Komputer dan Matematik telah membuat perancangan mempromosi Zoo Rabbitland Jengka menggunakan saluran Youtube dan Facebook. Pendekatan pemasaran melalui sosial media ini bertujuan meningkatkan dan meluaskan capaian potensi pelanggan datang ke Zoo Rabbitland termasuk daripada kalangan pelancong dari dalam dan luar negara. Beberapa siri video pendek telah dihasilkan antara lain memperkenalkan beberapa spesis haiwan mengikut jenisnya dan rakaman lokasi-lokasi menarik di sekitar zoo seperti Dream Garden, Hobbithouse, Galeri Rumah Peneroka, Jengka Hill dan sebagainya.


Gambar 2: Contoh rakaman video promosi di saluran rasmi Rabbitland Jengka

Jalinan kerjasama industri-akademia ini juga telah membantu pengusaha IKS mengenalpasti kehendak pelanggan dan keperluan pasaran melalui kajian yang telah dilaksanakan oleh kumpulan pensyarah UiTM Cawangan Pahang ini. Ia adalah sebagai usaha perkongsian kepakaran daripada pihak universiti kepada komuniti peniaga bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan Zoo Rabbitland. Hasil dapatan daripada kajian yang telah dijalankan, beberapa aspek telah dikenalpasti perlu ditambahbaik oleh pihak pengurusan zoo antaranya cadangan bagi menyediakan khidmat jurupandu pelawat dan mewujudkan program pendidikan mengenali haiwan-haiwan yang dipamerkan khususnya kepada murid-murid sekolah. Program ini juga dilaksanakan atas dasar memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SGDs) dunia iaitu mengungguli sasaran kualiti pendidikan (4), pengembangan ekonomi (8) dan kelestarian komuniti dan bandar (11).

Gambar 3: Video kenali haiwan safari untuk bahan pembelajaran sokongan murid pra-sekolah

Tajuk asal:

Pensyarah UiTM Cawangan Pahang Bantu Pengusaha IKS Promosi Produk Pelancongan Desa “Zoo RabbitLand” Menggunakan Pemasaran Sosial Media.

Oleh: Siti Fahazarina Hazudin, Maisarah Ishak, Afiqah Bazlla Md Soom, Nor Hidayatun Abdul Razak, Adibah Hussin, Mohd Faizal Azrul Azwan Muhammed, Mohd Aidil Riduan Awang Kader, Mohd Rafi Ekramuddin