PPV UiTM Shah Alam Telah Beroperasi

SHAH ALAM: Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Mega di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, mula beroperasi pada 21 Jun 2021. UiTM dalam kenyataan memaklumkan bahawa PPV berkenaan adalah pusat kedua bagi universiti itu selepas PPV di UiTM kampus Puncak Alam.

“Ia mula beroperasi jam 8 pagi hingga 5 petang dan mampu memuatkan seramai 1,500 penerima vaksin pada satu-satu masa. Pusat ini dilengkapi fasiliti dengan ruangan parkir 800 kenderaan, kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU) dan warga emas dan ruang pemantauan. Ia akan memberi manfaat yang besar kepada warga Selangor dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang berdaftar melalui MySejahtera,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pengoperasian PPV itu membabitkan 250 kakitangan yang terdiri daripada petugas barisan hadapan dan pegawai dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj) di UiTM Shah Alam. Katanya, sukarelawan pula terdiri daripada staf UiTM, pelajar dan alumni yang akan bersama-sama menjayakan program itu.

“UiTM percaya melalui sokongan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Kerajaan Negeri dan kementerian-kementerian lain yang terlibat, UiTM akan sentiasa bersedia memberikan kerjasama serta perkhidmatan terbaik dan profesional bagi menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin kepada orang ramai ke arah membantu negara dalam usaha melandaikan lengkung jangkitan wabak COVID-19,” katanya.

Operasi pemberian vaksin di PPV, IPT UiTM berskala mega sudah bermula pada 7 Jun lalu di Dewan Berlian UiTM Kampus Puncak Alam. PPV berkenaan juga boleh memuatkan seramai 1,500 orang pada satu-satu masa, selain fasiliti dengan kapasiti ruangan parkir 300 kenderaan, bilik pemantauan dan kemudahan lain.

Sumber Berita:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/830399/ppv-uitm-shah-alam-beroperasi-hari-ini