Hari Derma Darah Sedunia 2021: Kempen Kesedaran Derma Darah

PUNCAK ALAM – Program Hari Derma Darah Sedunia 2021: Kempen Kesedaran Derma Darah anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah diadakan pada 17 Jun 2021 melalui platform Facebook Live ‘MELTECH UiTM Puncak Alam’. Seramai 13 orang penganjur, dua orang panel jemputan dan 172 orang peserta telah terlibat dalam menjayakan program ini. 

Program ini merupakan usaha MELTECH untuk memberi pendedahan dengan lebih mendalam kepada para pelajar berkaitan pendermaan darah dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa tentang kepentingan menderma darah.  Panel yang dijemput ialah Dr. Mazura Bahari, seorang pensyarah kanan Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan di UiTM Puncak Alam dan saudari Nurfatima Maisarah Dzarfan yang merupakan pelajar jurusan Teknologi Makmal Perubatan.

Pengarah program, Khairunnisa Irdina Rosewan berkata, program sebegini amat diperlukan bagi memberi galakan kepada mahasiswa serta orang awam untuk menderma darah selain daripada menyingkirkan stigma negatif tentang pendermaan darah. Matlamat program ini dijalankan adalah bagi menambah pengetahuan yang jelas tentang kepentingan menderma darah. Dalam pada itu, beliau juga berharap agar mahasiswa menjadi lebih yakin dan dapat membuang rasa takut untuk menderma darah selepas ini.  

“Selain itu, diharapkan semua peserta juga mendapat kesedaran untuk menderma darah dan menjadikannya sebagai satu tanggungjawab dan budaya hidup dalam masyarakat,” katanya.