Polis Bantuan UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan dua siri Kursus Pengurusan Kewangan yang telah diadakan pada 16 Ogos 2022 yang dihadiri oleh seramai 25 orang anggota dan sesi kedua pada 18 Ogos 2022, yang dihadiri oleh 27 orang anggota.
“Pengurusan kewangan adalah sesuatu yang penting. Sebesar atau sekecil mana pun pendapatan yang diperolehi oleh anggota, ia memerlukan pengurusan yang baik bagi memastikan kualiti tugas tidak dipengaruhi oleh masalah kewangan”, kata Encik Mohamad Fadilah bin Abd Halim, Pembantu Keselamatan Kanan, Polis Bantuan UiTM Cawangan Pahang. Menurut Ketua Pejabat Polis Bantuan UiTM Cawangan Pahang, INSP Adrusham Bin Che lah, “Kursus yang dianjurkan ini telah mencapai matlamat penganjuran latihan Pejabat Polis Bantuan”.
Kursus ini telah dikendalikan oleh Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang bertujuan untuk mendedahkan anggota tentang kawalan, teknik dan pengurusan kewangan yang bijak bagi menghadapi situasi inflasi masakini, disamping mencapai matlamat kewangan dengan mudah. Penerangan seperti kepentingan kewangan, jenis-jenis hutang, strategi untuk keluar daripada masalah kewangan serta latihan dalam kumpulan telah memenuhi slot Kepentingan Pengurusan Kewangan, Pengurusan Kewangan Peribadi dan Pengurusan Kewangan Keluarga.