Podcast Sosiowara Sorot Isu Kesihatan Mental dalam kalangan Penuntut IPT

Prihatin dengan masalah kesihatan mental yang semakin membimbangkan dalam kalangan penuntut instituti pengajian tinggi (IPT) telah mendorong penuntut semester tiga program Penyiaran dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam untuk menyorot isu tersebut dalam siaran Podcast Sosiowara.

Program siaran audio yang telah masuk musim ketiga, kali ini mengangkat tema ‘Kesihatan Mental dalam kalangan Penuntut Institusi Pengajian Tinggi’ dengan menjemput dua orang pelatih kaunselor, Syahira Nasaruddin dan Phoebe Teo Yuan Chin untuk memberi penerangan lanjut mengenai isu ini sekaligus meningkatkan kesedaran umum.

Pensyarah Penasihat Program, Aeyneda Zairyn Abdul Jalil menganggap penerbitan empat episod podcast ini merupakan inisiatif terbaik bagi mendidik penuntut IPT untuk lebih terbuka berkongsi masalah kesihatan mental dan mendapat rawatan awal.

“Terdapat pelajar yang prestasi akademiknya terjejas ekoran berhadapan dengan masalah kesihatan mental namun memilih untuk berdiam diri kerana menganggap permasalahan itu dapat diselesaikan secara peribadi,” katanya.

“Perbincangan dalam Podcast Sosiowara bersama tetamu jemputan yang dikendalikan sendiri oleh para pelajar diharap dapat bertindak sebagai bimbingan dari rakan sebaya yang mampu memberi keyakinan kepada penuntut IPT yang mempunyai masalah kesihatan mental untuk pergi mendapatkan rawatan awal,” tambahnya lagi.

Menurut hos episod pertama bagi musim ketiga ini, Alya Adriana Shafiee, Natasha Farhana Hasbullah, dan Nur Azleen Zamahari, tidak ramai pelajar cakna akan isu kecemasan berbanding kegelisahan dan berhasrat untuk menyebar pengetahuan mengenai cara mengatasinya melalui podcast tersebut.

Amir Johar Nadim dan Muhammad Nazrullah Muhammed Nazir yang mengacarakan episod kedua pula berkongsi nasihat professional daripada tetamu jemputan untuk mengendalikan gangguan bipolar dan mengetahui strategi menguruskan perubahan mood.

Selain itu, musim ini Podcast Sosiowara turut akan menampilkan Nurul Eliya Maisarah Shamsolanuar dan Nur Aliadiba Farouk Adilah yang mengutarakan isu gangguan pemakanan yang menurut mereka sering dipandang rendah dan dipinggirkan.

‘Gangguan Kemurungan Melampau dalam kalangan Penuntut Institusi Pengajian Tinggi’ menjadi topik perbincangan hos Fatin Thaqiffah Shahrom dan Ermariena Shafikha Sofia Abdul Fattah yang khuatir dengan kebarangkalian isu ini menjejaskan pelbagai aspek kehidupan seseorang pelajar IPT itu.

Melalui penerbitan podcast ini, para pelajar yang merupakan bakal pengamal media berhasrat dapat melaksanakan tanggungjawab sosial mereka dengan menghasilkan lebih banyak program yang berkisar permasalahan kesihatan mental yang mengundang pakar-pakar dari bidang berkenaan.

Podcast Sosiowara dapat diakses melalui platform seperti Spotify, Spotify for Podcasters, Google Podcast dan Apple Podcast.

https://open.spotify.com/show/1ZqUCT5j53W5KVtmoRIXJx?si=87750705427e43a3 merupakan pautan untuk mendengar program ini di Spotify.