Pertandingan Video Kreatif dalam Membudayakan Nilai ESI i-DART

Fakulti Pendidikan, UiTM Kampus Puncak Alam – Program Suara Merdeka EDU telah dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Sekretariat Mahasiswa Fakulti Pendidikan (SMFP) dan Science Education Society (SEEDS) bersempena menyambut Hari Kebangsaan yang ke-65. Antara program yang diadakan sepanjang bulan kemerdekaan adalah Pertandingan Video Kreatif, Ceramah ESI i-DART dan Forum ESI i-DART dan Perjuangan Menuntut Kemerdekaan.

Pada 17 Ogos 2022, Pertandingan Video Kreatif telah diadakan sebagai pembuka Program Suara Merdeka EDU. Tempoh pendaftaran dan penghantaran video kreatif bermula 17 Ogos (Rabu) sehingga 10 September 2022 (Sabtu) telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelbagai pihak. Pertandingan Video Kreatif ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT). Hebahan dan jemputan penyertaan juga telah dipanjangkan kepada sekolah-sekolah di sekitar Selangor bagi menjayakan program ini dan pemenang berpeluang memenangi hadiah berbentuk wang ringgit. Pertandingan yang bertemakan kemerdekaan dan nilai ESI i-DART membuka ruang kepada mahasiswa dan pelajar sekolah untuk menggunakan daya pemikiran kritis dan sekaligus mencungkil bakat kreatif mereka. Pertandingan ini juga dijangka dapat menerapkan nilai ESI i-DART dalam pembentukan jati diri setiap mahasiswa dan pelajar. Para peserta telah berjaya untuk menyerlahkan bakat mereka dalam akktiviti seperti berlakon, mendendangkan syair, dan bercerita.

Pemenang bagi Pertandingan Video Kreatif telah diumumkan pada akhir majlis Forum ESI i-DART dan Perjuangan Menuntut Kemerdekaan yang berlangsung pada 15 September 2022 (Khamis) bertempat di DK200 Fakulti Pendidikan UiTM. Seramai 4 orang juri telah dilantik bagi penjurian video tersebut. Pemenang tempat pertama memenangi hadiah wang berjumlah RM100, tempat kedua RM75 dan tempat ketiga RM50 bagi setiap kategori. Berikut adalah senarai nama pemenang Pertandingan Video Kreatif bagi kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT:

Kategori Sekolah Rendah:
Tempat pertama: Auni Zahraa binti Abdul Hadi
Tempat kedua: Nik Melissa binti Nik Azri Hakim
Tempat ketiga: Mishael Media binti Mohamad Firdzaus Syah

Kategori Sekolah Menengah:
Tempat pertama: Nur Zaqeerah binti Zafrul
Tempat kedua: Muhammad Iman Hakimi bin Desriyeldi
Tempat ketiga: Nur Lyana Nabila bt Mohamad Abdul Ghani

Kategori Institut Pengajian Tinggi:
Tempat pertama: Nur Hazim bin Nor Azman
Tempat kedua: Nur Fatehah binti Zuraimee
Tempat ketiga: Nur Aisyah binti Mohd

Ribuan terima kasih dan tahniah diucapkan kepada para pemenang. Bagi melihat karya yang dihasilkan oleh para peserta, sila gunakan tanda pagar #SuaraMerdekaEDU dan #KeluargaMalaysiaTeguhBersama di aplikasi TikTok.