Shah Alam, 25 Mei 2024 – Pertandingan Mural Institut Pengajian Tinggi (IPT) sempena Hari Landskap Negara 2024 telah berlangsung di Taman Warisan Melayu, Taman Tasik Shah Alam, Selangor. Acara ini bertemakan ‘Industri Landskap Pemacu Pembangunan Madani’ dan menyaksikan penyertaan sepuluh kumpulan dari pelbagai institusi pengajian tinggi.
Antara IPT yang terlibat adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Politeknik Nilai. Setiap kumpulan diwakili oleh tiga pelajar, termasuk wakil dari Sarjana Muda Senibina Landskap (Kepujian), Bidang Senibina Landskap, Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.
Pertandingan berlangsung dari pukul 2.00 petang hingga 5.00 petang. Selesai peserta menyiapkan mural, sesi penilaian dijalankan oleh panel juri profesional yang mewakili Jabatan Landskap Negara (JLN), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM). Setiap kumpulan diberi peluang selama 5 minit untuk membentangkan karya mereka.
Setelah menilai prestasi peserta, pihak penganjur telah mengumumkan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tiga kumpulan terbaik. Namun, majlis penyampaian hadiah akan berlangsung pada 26 Mei 2024 di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS. Acara diakhiri dengan sesi bergambar kenang-kenangan bersama peserta, juri dan penganjur.