Pengangkutan Halal Dan Kesan Kepada Integriti Halal: Kolaborasi Bersama Ahli Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah (CILT)

23 Mei 2024, Raub. Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah atau Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) adalah satu badan profesional yang memayungi pakar dan ahli dalam industri pengangkutan dan logistik seluruh dunia. Sehingga kini industri pengangkutan dan logistik semakin berkembang kesan dari globalisasi di mana rata-rata negara terlibat dengan eksport dan import. Sebanyak 25 peratus populasi dunia adalah beragama Islam menjadikan permintaan kepada barangan dan perkhidmatan halal sentiasa tinggi. Jika dulu konsep halal hanya tertumpu kepada makanan sahaja namun, konsep ini sebenarnya lebih dari itu. Sesuatu produk yang dijamin halal perlu memastikan status halal tersebut tidak diragui termasuklah semasa proses pemindahan barangan berlangsung. Itulah titik tolak membawa kepada konsep pengangkutan halal. 

Malaysia dikenali sebagai pusat Halal sedunia yang disegani perlu ke depan dalam memperjuangkan isu-isu halal. Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menjangkakan industri halal di Malaysia akan menyumbang sebanyak 8.1 peratus atau RM56 bilion pada tahun 2025 kepada KDNK negara. Dengan itu, banyak lagi prosedur dan polisi yang berkaitan halal perlu dikaji dan diterapkan kepada pemain industri. JAKIM telah memainkan peranan yang besar dalam persijilan dan pematuhan halal namun, masih banyak ruang dan peluang yang belum diteroka termasuklah operasi pengangkutan halal.  

Pusat Pengajian Perniagaan dan Perbankan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Pahang bertuah kerana berjaya menjemput seorang pakar dalam bidang pengangkutan halal. Pakar yang dimaksudkan adalah Dr Yusrizal Sufardi Bin Mohd Yunan merupakan seorang pensyarah di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau Perlis dan ahli CILT Malaysia. Hasil kerja beliau turut diterbitkan di Berita Harian dan menyumbang dalam banyak latihan profesional. Kajian PhD beliau adalah dalam bidang halal, mengupas isu penerapan konsep halal kepada aktiviti pengangkutan dan logistik melalui kajian kes syarikat di Malaysia. Hasil kajian menyimpulkan, di sebalik kesedaran yang tinggi mengenai pengangkutan halal namun, masih banyak cabaran untuk meyakinkan pengeluar produk halal untuk menggunakan perkhidmatan ini.

Seminar Pengangkutan Halal dan Kesan Kepada Integriti Halal memberi pendedahan kepada pelajar TPT251 untuk melihat bagaimana konsep halal boleh diterapkan dalam operasi pengangkutan. Seminar ini menekankan pentingnya pematuhan kepada standard halal yang ditetapkan oleh badan-badan persijilan. Peserta turut didedahkan mengenai keperluan perundangan yang perlu dipatuhi untuk memastikan integriti halal terjamin. Ini adalah penting sebagai salah satu aspek dalam rantaian bekalan, yang mempengaruhi status halal sesuatu produk.

Selain itu juga, Dr Yusrizal turut berkongsi peluang kerjaya dalam bidang ini. Rata-rata pelajar memandang sektor ini berkelas rendah menyebabkan bidang pengangkutan menjadi kurang popular berbanding perbankan atau pelaburan. Di samping itu, pengiktirafan badan profesional seperti CILT juga adalah penting untuk memacu kerjaya dalam bidang ini. Malah, melalui keahlian ini turut membuka peluang kerjaya di luar negara.  Pendedahan kepada perjawatan yang boleh diceburi dengan anggaran gaji berjaya memadamkan sedikit tanggapan negatif terhadap kerjaya dalam sektor ini. 

Adalah diharapkan kolaborasi seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Pelajar bukan sahaja perlu mengetahui berkaitan dengan teori tetapi juga perlu didedahkan dengan realiti industri yang sebenar. Pengangkutan halal hanya merupakan salah satu daripada bahagian pengurusan logistik halal. Terdapat pelbagai lagi aspek halal yang boleh diterokai dalam pengurusan logistik.  Penganjuran seminar ini diharapkan membuka mata pelajar mengenai potensi besar industri ini pada masa akan datang.