Pertandingan Bercerita ‘Cerita Rakyat Malaysia’

Pertandingan Bercerita ‘Cerita Rakyat Malaysia’ ini diadakan bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November 2022. Antara objektif pertandingan ini adalah untuk mencungkil bakat dan memupuk keyakinan diri murid-murid sekolah di samping menggalakkan mereka membaca dan menghayati karya kreatif penulis tempatan mahupun karya tradisional melalui penceritaan. Selain itu, aktiviti penceritaan merupakan salah satu pendekatan yang sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa dalam kalangan murid-murid yakni kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Justeru, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang menganjurkan pertandingan ini kerana tidak mahu ketinggalan menjadi sebahagian daripada wadah dalam menyemai semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan murid-murid sekolah mahupun masyarakat melalui penceritaan.

Bertemakan ‘Cerita Rakyat Malaysia’, pertandingan yang diadakan secara atas talian ini telah berlangsung mulai 1 Oktober hingga 15 November 2022. Penyertaan pertandingan ini terbuka kepada semua murid sekolah rendah dan terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) dan Kategori Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6). Seramai 26 orang murid pelbagai bangsa dari serata Malaysia telah menyertai pertandingan ini. Seramai 18 orang murid dalam Kategori A Tahap 1 (7 hingga 9 tahun), diikuti dengan 5 orang murid dalam Kategori B Tahap 2 (10 hingga 12 tahun) dan 3 orang murid lagi menarik diri kerana terlibat dalam peperiksaan.

Pengumuman pemenang telah diwar-warkan di laman sesawang pertandingan di pautan https://sites.google.com/uitm.edu.my/pertandinganbercerita/home pada 30 November 2022 lepas. Sijil Penyertaan diberikan kepada setiap peserta yang menyertai pertandingan ini. Manakala pemenang pula diberikan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM80.00 (Tempat Pertama), diikuti RM50.00 (Tempat Kedua) dan RM30.00 (Tempat Ketiga) beserta Plak, Sijil Pemenang dan Sijil Penyertaan. Sekalung TAHNIAH dan SYABAS diucapkan kepada semua pemenang pertandingan ini.

PEMENANG KATEGORI A TAHAP 1 (7 – 9 TAHUN)
TEMPAT PERTAMA
Saffiya binti Mohd Fazri
‘Dendam Harimau Kepada Kucing’

TEMPAT KEDUA
Muhammad Hadif Rizwan bin Muhammad Hafiz Fizwan
‘The Tortoise and The Crow’

TEMPAT KETIGA
Nur Zara Amanda binti Zulkarnain
‘Nelayan dan Dawai Emas’

PEMENANG KATEGORI B TAHAP 2 (10 – 12 TAHUN)
TEMPAT PERTAMA
Muhammad Dani Mirza bin Normazli
‘Batu Belah Batu Bertangkup’

TEMPAT KEDUA
Muhammad Adwa’ Fitri bin Shahrul Fitri
‘Si Bongkok Lupa Diri’

TEMPAT KETIGA
Aufa Muhammad Isyraf bin Mohd Talmizie
‘Katak Betina yang Sombong’

Pihak penganjur turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua peserta yang telah menyertai pertandingan ini. Aktiviti pertandingan ini bukan sahaja dapat mencungkil bakat dan kreativiti murid-murid sekolah untuk bercerita secara bersahaja, malah dapat membina keyakinan diri, semangat juang yang tinggi dan berdaya saing dalam kalangan mereka. Semoga aktiviti pertandingan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan.