Pertandingan ‘3r Typographic Collage’ Sempena Festival Kelestarian Kampus Hijau 2023 Anjuran UiTM Green Centre Peringkat Uitm Cawangan Perak

Berlangsung pada 21 Oktober 2023, pertandingan 3R Typographic Collage untuk kanak-kanak anjuran Jawatankuasa Kampus Hijau, UiTM Cawangan Perak telah memperlihatkan bagaimana seni mendapat tempat di hati masyarakat. Dikelolakan oleh Kumpulan 3: Green Lifestyle and Recreational Supports dari Jawatankuasa Kampus Hijau ini telah berjaya mengenengahkan 30 orang kanak-kanak dari sekitar Seri Iskandar mencuba bakat masing-masing dalam pertandingan kolaj bertemakan alam sekitar dan hasilan 3R.

Bertempat di Studio MAPS, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, program ini dimulakan dengan pertunjukan video mengenai penebangan pokok bagi penghasilan kertas. Rata-rata anak-anak kelihatan teruja dengan pengetahuan baru yang dipertontonkan.

Sememangnya program ini mensasarkan kesedaran mengenai kitar semula dikalangan kanak-kanak yang seharusnya dipupuk dari awal. Melalui program-program sebeginilah kanak-kanak ini akan lebih cepat didedahkan dengan isu-isu semasa berkenaan dengan kitar semula serta turut mencapai PI UiTM 107 dan 108 (kitar semula).

Sebagai penghargaan atas semangat anak-anak, setiap peserta mendapat beg hadiah berisi barangan seni yang pasti membuat mereka pulang dengan hati yang gembira. Bagi yang bernasib baik pula, pastinya kemenangan ini menjadi satu titik sejarah dalam hidup mereka. Sesungguhnya program ini bukan sahaja merangsang semangat saingan yang sihat, malah mengajar anak-anak bahawa setiap usaha mereka dihargai, tidak kira menang atau kalah.

Tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus bagi menjayakan program ini. Terbukti bahawa program ini berjaya mengaspirasikan bakat seni kanak-kanak dan menyuburkan kesedaran mereka tentang kelestarian alam sekitar. Usaha begini pastinya mampu membina generasi masa depan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam.