Persidangan Antarabangsa Julung Anjuran FKPM UiTM Cawangan Melaka

MELAKA – Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah telah menganjurkan persidangan antarabangsa – International Conference on Communication, Media, and Politics (ICCMP) 2024 buat julung kalinya pada 11 dan 12 Jun 2024.

Persidangan antarabangsa tersebut merupakan kolaborasi strategik di antara FKPM UiTMCM dan Fakultas Ilmu Sains dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Padjajaran (UNPAD), Indonesia. Dengan tema – ‘Navigating the Digital Age: Communication, Media, and Politics in a Globalised World’, persidangan ini telah menerima sebanyak 33 penyertaan dan pembentangan abstrak oleh 125 peserta yang terdiri daripada kalangan pensyarah serta pelajar tahun akhir peringkat diploma dan sarjana muda dari kedua-dua institusi.

Menjadi tarikan utama di persidangan ini merupakan dua ucap utama yang telah disampaikan oleh Dr. Mudiyati Rahmatunnisa, Lektor Kepala Program Pascasarjana Ilmu Politik, UNPAD, dan Encik Sakri Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

ICCMP 2024 telah dirasmikan oleh Profesor Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini, Rektor, UiTMCM yang turut menyatakan kepentingan penganjuran persidangan tersebut membuktikan peranan UiTM sebagai pusat pertukaran ilmu yang memupuk inovasi dan kecemerlangan akademik melalui penyelidikan. Beliau turut berkata, kehadiran rakan kolaborasi dari Indonesia ini tepat pada masa yang turut bersempena dengan ‘Tahun Melawat Melaka 2024’. Malah, kehadiran mereka juga akan membantu mempromosi kekayaan warisan dan status Melaka sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Tambahan pula, menurut Ketua Pusat Pengajian FKPM UiTMCM, Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan di dalam ucapannya berkata, ICCMP 2024 telah dianjurkan bagi menjadi platform utama dalam memupuk kemahiran khusus seperti komunikasi, pemikiran kritis, kerja berpasukan, etika profesional, dan kepimpinan. “Tidak kira siapa pun kita – pendidik, penyelidik, atau pelajar; kita bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu di dalam bidang tersendiri, membentuk perwatakan dan kemahiran yang diperlukan dalam era digital yang sentiasa berkembang ini,” ujarnya.

Program anjuran FKPM UiTMCM ini juga merupakan usaha para pelajar semester akhir Diploma Komunikasi dan Media bagi kursus COM363 – Projek Profesional dan COM323 – Penulisan Laporan Akademik. Penganjuran ICCMP 2024 ini juga turut memberi peluang kepada para pelajar untuk merasai pengalaman sebenar dalam pengurusan majlis, komunikasi strategik, serta kemahiran koordinasi.