PERSIDA UiTM Cawangan Pahang Sertai Virtual International Cultural Program 2021

Pada 23 sehingga 27 Ogos 2021 lalu seramai 11 pelajar dari Persatuan Pelajar Diploma Perakaunan (PERSIDA) UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah menyertai program anjuran Universitas Hasanuddin, Indonesia (UNHAS), iaitu Virtual International Cultural Program 2021 (UNHAS VICP) ‘Maritime Culture in South Sulawesi, Indonesia’. Program ini memberi peluang kepada peserta (terutama pelajar dari luar Indonesia) mengenali lebih dekat budaya masyarakat Sulawesi, Indonesia dengan kehidupan merin mereka.

Pada masa yang sama, program yang berlangsung selama 5 hari tersebut telah memberi peluang kepada peserta mempelajari ilmu baharu seperti kepelbagaian bahasa Indonesia, keunikan budaya, beberapa menu hidangan laut, sejarah dan jenis tarian tradisional dan kehidupan masyarakat nelayan Selatan Sulawesi serta keindahan bandar Makassar. Mereka turut diperkenalkan kepada 4 etnik di Selatan Sulawesi iaitu Taroja, Makassar, Bugis dan Mandar.

Peserta juga diberi kesempatan untuk berinteraksi sesama mereka yang terdiri dari pelajar negara Jepun, Filipina, Taiwan, Australia serta pelajar tuan rumah, Indonesia. Terdapat 2 sesi interaksi sesama peserta iaitu semasa sesi mempelajari Bahasa Indonesia dan sesi mempraktikkan beberapa tarian tradisional etnik di Selatan Sulawesi secara ‘virtual’.

Selain itu, kehidupan maritim masyarakat nelayan di sana turut diberi perhatian. Antaranya bagaimana mereka membuat Phinisi Boat yang telah diiktiraf sebagai salah satu ‘Intangible Cultural Heritage of Humanity’ oleh UNESCO.

Secara keseluruhan, setiap slot dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan dipenuhi dengan ilmu pengetahuan. Penyampaian dari pihak penganjur juga amat jelas dan mudah difahami oleh peserta. Pada hari terakhir sebelum tamatnya program, slot kuiz telah diadakan dan beberapa pelajar UiTM telah terpilih ke peringkat akhir. Secara keseluruhan, kesemua 11 peserta dari PERSIDA, UiTM Kampus Jengka sangat gembira kerana berpeluang menyertai program sebegini dan berharap agar berpeluang mengikuti program sebegini secara bersemuka apabila pandemik Covid-19 berakhir kelak.

Satu perkongsian dari salah seorang peserta UiTM, saudari Nurul Athira: ‘Saya sangat teruja dan gembira kerana berpeluang mengikuti program ini dan mengesyorkan kepada semua agar menonton klip video di Youtube bertajuk ‘Wonderland Indonesia oleh Alffy Rev dan Novia Bachmid’ yang telah ditayangkan dihujung program. Ia sangat menarik dan memberi gambaran keindahan dan keunikan adat dan budaya di Indonesia. Semoga program sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan antara peserta sesama negara.