Seri iskandar, 17 Julai 2024- Seramai 40 orang pelajar bersama 5 orang guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senai, Johor, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Jabatan Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Perak. Lawatan ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada dunia seni halus, selain memberikan mereka pendedahan awal mengenai suasana pembelajaran di dalam seni halus di UiTM.
Ketibaan pelajar dan guru pengiring disambut mesra oleh Koordinator Program iaitu Dr. Mohd Fawazie Arshad dan para pensyarah serta pelajar-pelajar dari Jabatan Seni Halus. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Koordinator Program. Sesi taklimat yang disampaikan oleh Encik Noor Enfendi Desa selaku Penyelaras Misi Akademik UiTM Cawangan Perak, yang memberi penerangan mengenai pengkhususan bidang seni halus, peluang kerjaya dalam bidang seni, serta kemudahan yang disediakan di kampus. Pelajar juga diberi peluang untuk bertanya soalan mengenai program-program yang ditawarkan, sekaligus membantu mereka memahami lebih lanjut mengenai bidang seni halus.
Lawatan ini diteruskan dengan sesi lawatan ke studio-studio seni yang terdapat di kampus tersebut. Pelajar SMK Senai diberi peluang melihat sendiri karya-karya seni yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar UiTM, termasuk lukisan, arca, dan seni cetakan. Mereka juga berpeluang berinteraksi dengan pelajar-pelajar UiTM yang sedang menjalankan projek mereka, sekaligus mendapat gambaran jelas mengenai proses kreatif yang terlibat dalam penghasilan karya seni.
Selain itu, pelajar SMK Senai juga berpeluang menyertai bengkel seni pendek yang dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah Jabatan Seni Halus. Bengkel ini memberikan pelajar peluang untuk merasai sendiri pengalaman menghasilkan karya seni, di samping mendapat bimbingan langsung daripada tenaga pengajar yang berpengalaman. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus mendalami minat mereka dalam bidang seni.
Lawatan ini diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan, di mana pelajar-pelajar SMK Senai merakamkan detik indah bersama para pensyarah dan pelajar UiTM. Secara keseluruhannya, lawatan ini bukan sahaja berjaya memberi pendedahan yang berguna kepada pelajar SMK Senai, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan menengah dan pengajian tinggi.
Guru pengiring dari SMK Senai, Cikgu Adilah, menyatakan rasa puas hati dan terima kasih atas layanan yang diberikan oleh pihak UiTM Cawangan Perak. Menurut beliau, lawatan ini sangat bermakna kerana ia memberi peluang kepada pelajar untuk melihat sendiri potensi yang ada dalam bidang seni, selain memberi inspirasi kepada mereka untuk mengejar cita-cita dalam bidang ini.
Dengan berakhirnya lawatan ini, diharapkan pelajar-pelajar SMK Senai akan lebih bersemangat dan bermotivasi untuk meneruskan pelajaran dalam bidang seni, serta menjadikan lawatan ini sebagai titik permulaan dalam perjalanan akademik mereka ke arah mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Penulis bersama: Noor Enfendi Bin Desa, Noor A’yunni Binti Muhamad, Nur Adibah Nadiah Mohd Aripin, & Mohd Fawazie Arshad