Meneroka Dunia Seni: Lawatan Sambil Belajar SMK Seri Muara ke Jabatan Seni Halus, UiTM Cawangan Perak

Seri Iskandar, 8 Ogos 2024 – Seramai 40 orang pelajar dan 5 orang guru pengiring dari SMK Seri Muara, Bagan Datuk telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Jabatan Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Perak. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai peluang pendidikan tinggi dalam bidang seni dan membantu mereka membuat pilihan kerjaya yang tepat.

Setibanya di UiTM Cawangan Perak, para pelajar disambut mesra oleh Koordinator Program Dr. Mohd Fawazie Arshad dan para pensyarah dari Jabatan Seni Halus. Sesi lawatan dimulakan dengan pengenalan mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di Jabatan Seni Halus. Para pelajar diberi peluang untuk melihat hasil karya seni pelajar-pelajar seni halus. Antara karya yang menarik perhatian ialah lukisan, arca, catan dan seni cetakan yang menunjukkan kreativiti dan kemahiran teknikal yang tinggi.

Para pelajar dibawa melawat studio-studio seni di mana mereka berpeluang melihat demonstrasi teknik cetakan dan lukisan. Para pelajar kelihatan teruja dan bersemangat melihat secara langsung proses penciptaan seni yang kompleks dan menarik.

Selesai lawatan, satu sesi taklimat kemasukan ke universiti awam secara umumnya dan secara khususnya mengenai kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah diadakan. Taklimat ini dikendalikan oleh Penyelaras Misi Akademik, UiTM Cawangan Perak yang memberikan maklumat terperinci mengenai syarat kemasukan, program yang ditawarkan, serta panduan untuk memohon ke universiti awam dan UiTM. Pelajar turut diberi panduan mengenai strategi pemilihan program yang sesuai berdasarkan minat dan pencapaian akademik mereka.

Sesi soal jawab yang diadakan selepas taklimat tersebut mendapat sambutan hangat daripada pelajar yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai peluang pendidikan tinggi dan kerjaya dalam bidang seni. Guru-guru pengiring juga memuji usaha UiTM Cawangan Perak dalam menyediakan maklumat yang komprehensif dan bermakna kepada pelajar.

Lawatan ini telah memberi inspirasi kepada pelajar SMK Seri Muara untuk meneruskan minat mereka dalam bidang seni, khususnya dalam bidang seni halus dan memberikan panduan yang jelas tentang langkah-langkah seterusnya dalam perjalanan akademik mereka. Pihak sekolah berharap agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk manfaat pelajar-pelajar lain.

Penulis bersama: Noor Enfendi Bin Desa, Noor A’yunni Binti Muhamad, Nur Adibah Nadiah Mohd Aripin, Mohd Nafis Saad & Mohd Fawazie Arshad