PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN: KERANGKA NEGARA DAN HAK RAKYAT MALAYSIA

Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen undang-undang yang menggariskan prinsip-prinsip pemerintahan negara dan melindungi hak asasi rakyat. Dokumen ini penting dalam membentuk corak pemerintahan dan mengawal kestabilan negara Malaysia. Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu [Perkara 4 (1)].

Sebelum merdeka, negara kita pernah ditadbir oleh British. Pada tahun 1948, Undang-Undang Darurat diwartakan bagi memberi kuasa kepada pihak British untuk menangani ancaman komunis yang melanda Tanah Melayu pada ketika itu. Pada masa yang sama, pemimpin politik Tanah Melayu telah memulakan perbincangan untuk membuat perubahan politik yang besar bagi membina sebuah negara yang merdeka. Untaian daripada itu, pilihan raya yang pertama telah diadakan pada tahun 1955 untuk memilih anggota Majlis Perundangan Persekutuan. Parti Perikatan telah menang sebanyak 51 kerusi dalam pilihan raya tersebut. Kemenangan yang dimiliki oleh Parti Perikatan telah membawa kepada jalan rundingan kemerdekaan dengan British.

Setiausaha Tanah Jajahan British telah melawat Tanah Melayu pada 1955 dan hasilnya satu persidangan dilaksanakan di London telah bersetuju mengklasifikasikan Tanah Melayu sebagai sebuah tanah yang merdeka. Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk merangka draf perlembagaan bagi negara yang merdeka ini. Pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, Tanah Melayu merdeka dari pihak British dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia secara rasminya berkuat kuasa pada hari yang sama. Penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditubuhkan pada 16 September 1963 selepas Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung bersama Persekutuan Tanah Melayu (kemudian Singapura dipisahkan dari Malaysia pada tahun 1965). Perlembagaan Persekutuan Malaysia diubah suai untuk memasukkan peruntukan mengenai kewibawaan negara ini sebagai entiti-entiti yang membentuk Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan mempunyai 16 Bahagian dan 13 Jadual. Terdapat beberapa perkara utama yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Antaranya adalah berkaitan peranan Institusi Beraja dan kedaulatan negara (Bahagian IV, Bab 1 – Ketua Utama Negara dan Bab 2 – Majlis Raja-Raja. Bahagian 5, Perkara 70 Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri. Seterusnya Bahagian XIV Kecualian bagi kedaulatan, dsb., Raja-Raja). Turut dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan sistem perundangan (Bab 4 dan Bahagian IX) yang menerangkan kerangka untuk sistem perundangan Malaysia. Ia menetapkan struktur Parlimen, kuasa-kuasa dan tanggungjawab badan-badan legislatif dan kehakiman, serta peranan dan tanggungjawab Perdana Menteri dan Kabinet.

Perlembagaan Persekutuan mengakui kedudukan agama Islam sebagai agama bagi persekutuan dan ia juga menjamin kebebasan beragama bagi penganut agama-agama lain (Perkara 3). Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152). Walau bagaimanapun, ia juga tidak menghalang kaum lain untuk menggunakan bahasa mereka sendiri atau mengajar dan belajar apa-apa bahasa lain. Selain itu, Perlembagaan Persekutuan turut menggariskan perkara berkaitan hak asasi manusia yang melindungi hak-hak asasi rakyat Malaysia dan menjamin kebebasan beragama, kebebasan bersuara, hak atas keadilan, hak pendidikan, dan banyak lagi.

Sebagai rakyat Malaysia adalah penting untuk memahami perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah dokumen undang-undang yang membentuk landasan dan kerangka pemerintahan negara. Rakyat juga dapat meningkatkan kefahaman mereka tentang struktur pemerintahan dan pentadbiran negara. Dari kedudukan Raja hinggalah kepada rakyat, cuma perlu dilihat juga akta-akta, enakmen-enakmen dan ordinan-ordinan yang menjadi pelengkap kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Dengan memahami peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan, rakyat juga lebih cakna bahawa hak kebebasan agama, pendidikan, keadilan dan lain-lain adalah milik mereka dan seharusnya dipertahankan secara efektif.

Pendedahan perlu dilaksanakan secara kolektif supaya rakyat mudah memahami peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak dan tanggungjawab bukan sahaja digalas oleh pemimpin sahaja, malah ia perlu digalas oleh seluruh rakyat Malaysia. Peruntukan mengenai keistimewaan, kedudukan dan bidang kuasa perlu diambil tahu supaya kekeliruan dalam hal tersebut dapat diminimumkan. Sekiranya pemahaman tentang perlembagaan telah tercapai, konflik yang melampaui batas dapat dielakkan serta kesejahteraan negara dapat dikekalkan secara konsisten.

“Perlembagaan Persekutuan termasuk semua perkara hak keistimewaan yang disepakati perlu dihormati dan dipertahankan”
Titah YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, pada 31 Ogos 2020.