66 TAHUN PERSEKUTUAN MALAYA MERDEKA: DIJAJAH ATAU DINAUNGI

Malaysia sebuah negara merdeka. Pahit getir sudah dialami oleh pejuang bangsa. Perjuangan demi perjuangan tanpa henti demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air. Tidak lengkap mengisahkan sejarah persekutuan ini tanpa adanya perjuangan. Kedatangan kaum imperialis silih berganti selama 446 tahun akibat kerakusan dan kemiskinan sumber yang mereka hadapi di tanah air mereka sendiri. Namun negara ini tetap utuh dan berdaulat.

66 tahun Malaysia telah mencapai kemerdekaan. Akhir-akhir ini telah wujud sedikit kekeliruan dalam kalangan masyarakat terutama sekali golongan anak muda tentang sama ada negara ini dijajah atau dinaungi. Terdapat perbezaan pendapat dari pakar-pakar sejarah dan menyebabkan mereka keliru. Melihat kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4, jajah membawa maksud menakluk dan memerintah sesuatu daerah atau sesebuah negeri. Naung pula bermaksud lindungan, berlindung pada kerajaan lain atau menerima perlindungan dari negara lain (negara dominan). Terlebih dahulu, kita imbas kembali peristiwa sejarah yang pernah berlaku di tanah air yang tercinta ini.

Tahun 1511 adalah tahun permulaan penaklukan koloni bangsa Eropah di bumi Melayu. Kesultanan Melayu Melaka sebuah empayar megah dan terbilang, sudah berdiri selama 111 tahun telah menjadi mangsa takluk oleh Portugis. Bermatlamat 3G (Gold, Gospel & Glory) menjadi asbab utama Portugis ingin menakluk Kota Melaka. Tahun 1641 pula, Melaka dijajah sekali lagi oleh Belanda selepas berjaya mengalahkan Portugis, rentetan daripada permintaan bantuan dari kerajaan Johor Lama. Tempoh penjajahan Belanda di Melaka agak lama sekitar 183 tahun (1641-1824). Selama 183 tahun Belanda menjajah Melaka, akhirnya satu perjanjian dibuat antara Belanda dengan British yang dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Perjanjian ini dilaksanakan dengan menukar tanah jajahan masing-masing. Hal ini memudahkan British dapat menguasai keseluruhan semenanjung Tanah Melayu manakala Belanda pula menguasai kepulauan Indonesia. 

Sebelum tahun 1824, British sudah mula bertapak di Pulau Pinang pada tahun 1786 dari hasil perjanjian yang dibuat antara wakil Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) iaitu Francis Light dengan Sultan Kedah iaitu Sultan Abdullah (1778-1798). Dalam perjanjian tersebut, Francis Light bersetuju dan berjanji akan melindungi Kedah dari serangan Siam. Namun malangnya, “kata tidak dipegangnya, janji tidak ditepatinya”. SHTI tidak melaksanakan janjinya dan rentetan daripada itu, Pulau Pinang secara rasmi menjadi miliknya (pajakan dari Kedah) dan menjadi negeri pertama yang dijajah oleh British. Setelah selesai di Pulau Pinang, British mengidamkan juga Singapura yang dilihat menjadi pelabuhan strategik laluan kapal dagangan. Maka pada tahun 1819, Stamford Raffles mula menandatangani perjanjian dengan Tengku Hussain dan Temenggung Abdul Rahman. Dengan kejayaan pihak British menguasai ketiga-tiga kawasan (Pulau Pinang, Singapura dan Melaka), maka tertubuhnya Negeri-negeri Selat yang menjadi wilayah jajahan mutlak empayar British tambahan pula tiga kawasan ini tidak dimiliki oleh mana-mana Raja atau Sultan yang berdaulat. 

Berbeza di negeri-negeri yang diperintah oleh institusi beraja iaitu Negeri Johor, Pahang, Perak, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan. Negeri-negeri tersebut tidak terlepas dari kerakusan pihak British. Mereka berusaha melaksanakan campur tangan untuk memastikan mereka berkuasa dan berjaya mengaut keuntungan hasil kekayaan negeri Melayu. Menurut sejarah, pada awalnya setiap negeri perlu menerima seorang Residen atau penasihat dari British yang ditugaskan untuk menasihati Raja-Raja dalam hal ehwal pentadbiran kecuali dalam hal ehwal agama Islam dan adat Melayu. Perancangan British seterusnya adalah mewujudkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (Negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor). Walaupun berbeza bersekutu dan tidak bersekutu, ia masih dalam konsep yang sama dimana British menasihati dan campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran. Raja-Raja Melayu tidak dapat melaksanakan fungsi baginda sebagai Raja pemerintah dengan bebas. Maka disinilah kita dapat lihat bahawa kedaulatan Raja pemerintah mengalami kekurangan. Kedaulatan negara terletak kepada kedaulatan Raja pemerintah, jika kurangnya Daulat Raja, maka kuranglah Daulat Negara. 

Kedaulatan Raja-Raja pemerintah dikatakan sangat minimum semasa kedatangan British. Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi ke-4, daulat bermaksud bahagia, kebahagiaan Raja-Raja yang memerintah atau mempunyai kuasa yang tertinggi dan merdeka serta berkuasa sepenuhnya terhadap urusan dan pemerintahan sendiri. Maka itu, dasar campur tangan dari British adakah membahagiakan Raja-Raja kita? Lihat pada jawapannya mestilah tidak, kerana diibaratkan kita mempunyai tanah sendiri, tetapi kita dinasihatkan untuk tidak menguruskan tanah tersebut malah perlu diuruskan oleh orang lain. Akhirnya, hasil yang sedikit kita dapat manakala hasil yang banyak, menjadi milik mereka. 

Tahun 1942, Jepun pula datang menyerang dan menduduki Semenanjung Tanah Melayu atas dasar ingin menghalau penjajah British dari Tanah Melayu dengan menggunakan slogan “Asia untuk orang Asia”. Penjajahan Jepun ini telah memberi kesan yang amat pedih kepada rakyat kerana dasar pemerintahannya yang tidak berperikemanusiaan. Kedatangan Jepun juga telah membuka mata kesedaran masyarakat pada ketika itu untuk tidak lagi meminta atau menerima bantuan dari mana-mana pihak asing untuk membebaskan dari penjajah, walaupun mereka dari benua yang sama. Penjajahan Jepun berakhir pada tahun 1945 selepas beberapa siri peperangan antara Jepun dengan Amerika dan diakhiri dengan gugurnya bom atom di wilayah Hiroshima dan Nagasaki. Setelah tamatnya perang dunia ke-2, British kembali semula ke Tanah Melayu dan melaksanakan dasar pemerintahan yang baru iaitu Malayan Union. Malayan Union ditubuhkan untuk menyatukan semua Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu termasuk Negeri Selat kecuali Singapura dalam satu pentadbiran. Hal ini kerana British berpendapat Negeri-Negeri Melayu ini perlu disatukan dan diseragamkan pentadbirannya. Semasa era Malayan Union, kedaulatan Raja-Raja semakin terhakis. Tambahan pula, British memaksa Raja-Raja untuk menandatangani perjanjian baru yang meletakkan atau menyerahkan kedaulatan negeri-negeri Melayu sepenuhnya kepada Empayar British. Paksaan dengan tipu helah dibuat untuk memudahkan British menubuhkan Malayan Union. Individu yang telah diamanah untuk mendapatkan tandatangan daripada setiap Raja-Raja adalah Sir Harold MacMichael. Sir Harold MacMichael pernah menjadi Pesuruhjaya Tinggi Palestin dan Trans-Jordan pada tahun 1938 hingga tahun 1944. Semasa Malayan Union dilaksanakan, keadaan di Tanah Melayu menjadi kucar-kacir kerana penentangan orang-orang Melayu pada ketika itu kerana tidak berpuas hati dengan penubuhannya yang memadamkan hak keistimewaan mereka sebagai penduduk asal tanah ini. Penentangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union mendapat perhatian dan sokongan daripada kerajaan British di England. Disinilah kita dapat lihat semangat nasionalisme dan penyatuan kaum Melayu dalam menegakkan identiti sebenar negara ini. Hasil daripada  penentangan ini, British bersetuju untuk berunding dengan wakil Raja-Raja dan pemimpin Melayu untuk menubuhkan satu persekutuan yang baru untuk menggantikan Malayan Union. Akhirnya, Malayan Union terkubur pada tahun 1948 dan Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. 

Pada 21 Januari 1948, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah dimeterai untuk menggantikan Malayan Union. Perjanjian ini telah ditandatangani oleh 9 orang Raja-Raja Melayu. Runtunannya, perjanjian ini membawa kepada langkah-langkah seterusnya untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu. Hasilnya Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Kesimpulannya, selama 446 tahun negara kita (mengikut negeri) ditawan oleh orang asing. Dari tahun 1511 hingga tahun 1957, nenek moyang kita tidak pernah tidur untuk melawan orang-orang asing demi kebahagiaan anak bangsa pada masa akan datang. Agama juga menjadi salah satu asbab perjuangan mereka dalam menegakkan syiarnya. Apa yang boleh dikongsikan adalah, kedatangan Portugis dan Belanda diklasifikasikan sebagai zaman penjajahan di Kota Melaka sahaja. 

Era British sebagai zaman campur tangan British di Semenanjung Tanah Melayu dan Jepun ditafsirkan sebagai zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Zaman Malayan Union selama 3 tahun adalah zaman penjajahan mutlak British. Terdapat pakar sejarawan mengatakan bahawa British menjajah dan ada yang mengatakan bahawa British hanya menaung Tanah Melayu. Pendapat tersebut tidak boleh dikatakan salah, kerana ada betul juga pendapat mereka. Tetapi secara jelasnya atau secara mudahnya, British campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran kecuali hal ehwal agama Islam dan adat Melayu. Zaman penjajahan British berlaku kepada negeri Pulau Pinang dan Melaka serta keseluruhan Tanah Melayu pada masa Malayan Union. Campur tangan yang dilakukan adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah satu taktik untuk meluaskan pengaruh mereka di dunia. Penaklukan dari negara lain kepada negara lain menjadi satu amalan yang biasa di Barat. Semakin banyak negara ditakluk, maka negara yang menakluk itu akan menjadi kuasa besar. Tambahan pula, hasil kekayaan sumber yang ditakluk juga menjadi milik mereka sendiri dan dalam pada masa yang sama, untuk kepentingan ekonomi negara mereka. 

Ini adalah pendapat peribadi penulis supaya tidak ada lagi kekeliruan atau lebih teruk pergaduhan yang berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia khusus warga belia yang menjadi pewaris bangsa. Sekiranya, masyarakat lain mempunyai pendapat lain, itu tidak menjadi masalah kerana konsepnya masih sama, untuk agama, bangsa dan negara. Sudah sampai masanya anak muda bersikap terbuka dalam menerima pendapat masing-masing. Meraikan kepelbagaian pendapat itu satu tindakan yang baik supaya sama-sama boleh berbincang secara sihat untuk mendapatkan kata putus.

Sudi memetik ayat suci al-Quran sebagai panduan kepada semua. Surah Al-Imran ayat 118 yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang bukan dari kalanganmu menjadi teman karib (yang dipercayai), (kerana) mereka tidak henti-henti (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang tersembunyi di hati mereka lebih jahat lagi. Sesungguhnya Kami telah terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya (memikirkannya).” Kedatangan bangsa asing di negara ini tidak lain dan tidak bukan kerana kita sendiri yang meminta bantuan dari mereka untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Apa yang kita dapat ialah kesengsaraan dan menjadi hamba di tanah sendiri. Sebagai belia yang akan memegang tampuk kepimpinan negara selayaknya lebih tahu dan cakna tentang sejarah. Hendaknya kesilapan yang terkandung di dalam sejarah, tidak berulang kembali pada masa akan datang.