PERMATANG PAUH, 7 Oktober 2021 – Seramai 223 Pelajar Baharu Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) telah berjumpa dengan Penasihat Akademik (PA) masing-masing secara dalam talian buat pertama kalinya menerusi platform WhatsApp dan google meet. Walaupun semua pelajar PPT masih lagi berada di rumah, namun mereka masih dapat bertemu dan berhubung dengan PA masing-masing dengan jayanya.
Pada semester ini seramai 11 Pensyarah dari Jabatan Sains Gunaan (JSG) dan Jabatan Sains Komputer dan Matematik (JSKM) telah dilantik untuk menjadi Penasihat Akademik kepada para pelajar PPT. Perjumpaan secara maya ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan PA para pelajar sekaligus dapat meningkatkan hubungan baik antara pelajar dan universiti. Ia senada dengan peranan dan tanggungjawab seorang pensyarah di universiti Teknologi MARA yang merentasi pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran, kesarjanaan dan perkhidmatan kepada pelajar, universiti dan masyarakat.
Antara peranan utama PA adalah untuk membimbing para pelajar dalam urusan hal ehwal akademik di sepanjang tempoh pengajian mereka. Selain itu, PA juga perlu memantau pencapaian dan prestasi akademik pelajar terutama kepada para pelajar PPT. Hal ini kerana, tempoh pengajian pra diploma hanyalah satu semester dan sangat penting untuk setiap pelajar PPT itu berjaya tamat pengajian dengan cemerlang bagi menempatkan diri ke program penerapapan diploma yang seterusnya.
Sepasang pelajar kembar pelajar PPT yang berkebetulan di kelas yang sama iaitu Saudari Adriana Binti Rashdan dan kembarnya Saudari Adriena Binti Rashdan telah memberikan reaksi positif dalam sesi perjumpaan maya ini dengan mengatakan “Kami berasa gembira dan teruja dengan pertemuan ini dan berharap agar ia menjadi permulaan yang baik untuk kami mengharungi sesi pembelajaran secara atas talian dari rumah. Sesi ini juga membolehkan kami berinteraksi dan berkenalan dengan rakan-rakan sekelas yang lain”.
Adalah menjadi harapan barisan PA agar semua pelajar PPT UiTM Cawangan Pulau Pinang Sesi Kemasukan Oktober 2021 yang terdiri daripada Program Pra Diploma Perdagangan (BA002/3) dan Program Pra Diploma Sains (PD007/8) dapat mengharungi pembelajaran secara Open Distance Learning (ODL) ini dengan jayanya dan beroleh kejayaan yang cemerlang.