Gaya Hidup Sihat Staf UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau Sempena Hari Sukan Negara 2021

TAWAU, 9 OKTOBER 2021 (SABTU) : Hari Sukan Negara (HSN) telah ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan pada Sabtu minggu kedua bulan Oktober disambut setiap tahun sejak 2015 ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai Negara Bersukan. Ekoran pandemik Covid-19 masih belum reda, maka sambutan HSN 2021 tidak lagi sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Tidak ada perhimpunan beramai-ramai yang dibenarkan. Namun begitu, aktiviti sukan dan riadah boleh diteruskan secara hibrid dan fizikal, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Sehubungan itu, pihak pengurusan UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau mengajak seluruh keluarga UiTM untuk mengaktifkan diri bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Sempena HSN 2021 pada 9 Oktober 2021, staf tidak melepaskan peluang untuk menjayakan beberapa aktiviti sukan dan riadah yang dirancang seperti memanah, berbasikal, hiking dan berlari di sekitar kawasan kampus.

Malah ada di kalangan staf yang terlibat dalam “Virtual Run & Ride”. Peserta berlari atau berbasikal di mana-mana lokasi yang dimahukan sama ada di padang, di tepi pantai atau di mana-mana tempat bersesuaian termasuk di atas treadmill. Rekod larian dicatatkan menggunakan mobile apps seperti Strava, Relive dan sebagainya.

Sesungguhnya, sambutan HSN 2021 adalah penting dalam usaha kerajaan mengalakkan semua rakyat mengamalkan budaya hidup cergas dan aktif. Pada masa yang sama dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung di kalangan masyarakat Malaysia.