Membantu antara satu sama lain merupakan satu nilai yang telah diterapkan melalui Perindu Volunteerism. Perindu Volunteerism merupakan satu gerakan para penghuni Kolej Perindu yang masih berada di kampus dalam membantu melancarkan pergerakan penghantaran pelajar pulang ke kampong halaman. Gerakan ini dibantu oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Perindu sendiri dalam memastikan agar para penghuni yang sudi menjadi sukarelawan ini menjalankan tanggungjawab dan amanah yang betul.
Para sukarelawan ini telah membantu dari segi pergerakan pelajar pulang mengikut zon yang telah dijadualkan oleh pihak UiTM di mana para sukarelawan akan menjadi petunjuk arah pergerakan agar lebih sistematik dan teratur semasa menaiki bas. Selain itu, para sukarelawan ini juga yang membantu dari segi mengangkat barang-barang peribadi pelajar yang pulang ke kampung untuk dimasukkan ke dalam but bas.
Aktiviti sukarelawan ini sendiri telah dipantau oleh Encik Sumardianshah Bin Silah, Pengetua Kolej Perindu dalam memastikan para penghuni yang sanggup menjadi sukarelawan ini mampu memberi perkhidmatan pertolongan yang baik dan memudahkan proses pergerakan penghantaran pelajar pulang. Barisan Staf Residen Kolej (SRK) jika tidak kurang dari segi membantu para sukarelawan dan membantu apa yang diperlukan.
Terpaksa menahan penat dan mengantuk tidak menjadi alasan kepada para sukarelawan yang sentiasa setia menghulurkan tangan memberi bantuan kepada para pelajar yang akan pulang. Walaupun ada harinya terpaksa berjaga sehingga jam 4 atau 5 pagi tidak menjadi hairan kepada para sukarelawan malahan mereka masih kelihatan aktif dan ceria serta tersenyum kerana dapat membawakan barang-barang para pelajar.
Tuntasnya, nilai sukarelawan sememangnya wajar dipratikkan dalam kalangan mahasiswa untuk membentuk sebuah suasana kampus university yang bertolenrasi sesama sendiri dan peka dengan apa yang berlaku pada keadaan sekeliling. Kalungan tahniah dan syabas kepada barisan sukarelawan dari Kolej Perindu dalam memudahkan proses pergerakan penghantaran pelajar pulang ke kampung.