Dalam meneruskan inisiatif jalinan antarabangsa bersama institusi luar negara, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, telah mengadakan satu pertemuan atas talian menerusi pelantar bersama Tamil Nadu Teachers Education University (TNTEU), India, untuk tujuan kerjasama dua hala. Pertemuan yang telah berlangsung selama lebih kurang 2 jam itu telah diadakan pada hari Khamis, 8 Januari 2021, pukul 2 petang waktu tempatan dan 11 pagi waktu India.
Bagi pihak Fakulti Pendidikan, perbincangan telah dihadiri oleh Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan; Ts. Dr. Siti Zuraidah Maaruf, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (Mantan); Dr. Hamimah Hashim, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik; Dr. Khadijah Said Hashim, Pegawai Komunikasi Office of International Affairs (OIA); Dr. Geethanjali Narayanan, selaku PTJ atau pensyarah bertanggungjawab mengaturkan pertemuan kerjasama ini; serta Puan Zuraimi Zakaria, Penyelaras Unit Komunikasi Korporat Fakulti Penddikan. Manakala wakil daripada pihak TNTEU terdiri daripada Prof. Dr. M. Govindan selaku Dekan TNTEU dan Prof. Dr. S. Mani selaku Pengarah Center for International Academic Collaborations.
Perbincangan telah dimulakan dengan sesi suai kenal di antara wakil daripada kedua-dua institusi. Kemudian, Dr. Geethanjali telah menjemput Prof Govindan selaku Dekan TNTEU untuk memulakan perbincangan ini dengan memperkenalkan TNTEU kepada wakil Fakulti Pendidikan. Menawarkan program-program di peringkat sarjana muda dan pascasiswazah, TNTEU merupakan universiti kedua terbesar di India yang memfokuskan kepada pendidikan guru. TNTEU mempunyai enam jabatan mewakili bidang-bidang pendidikan yang terdiri daripada Pedagogi Sains, Pendidikan Nilai, Psikologi dalam Pendidikan, Teknologi dalam Pendidikan, Perancangan dan Pentaksiran Kurikulum, serta Pentadbiran Pendidikan. TNTEU turut mempunyai lebih daripada 700 jalinan kerjasama dengan kolej-kolej pendidikan di seluruh India. Prof Govindan menyatakan bahawa graduan TNTEU ditempatkan di sekolah menengah sepertimana graduan dari Fakulti Pendidikan UiTM.
Perbincangan diteruskan dengan pembentangan ringkas oleh Prof. Madya Ts. Dr Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan, untuk memperkenalkan program-program di Fakulti Pendidikan termasuk potensi kolaborasi dua hala yang menjadi tumpuan pertemuan maya kali ini. Antara intipati signifikan yang dapat dirumuskan pada perbincangan ini adalah usahasama untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) meliputi potensi kajian bersama, pertukaran pelajar dan pensyarah, penyeliaan pelajar sarjana khusunya pengajian doktor falsafah, penulisan jurnal dan juga sesi webinar dalam bidang Pendidikan dan bidang khusus yang lain untuk manfaat bersama.
Pertemuan dan perbincangan kali ini dan yang pertama pada tahun 2021, diharap dapat menyatukan kedua-dua institusi dalam merealisasikan rancangan yang telah dibincang dan disepakati oleh kedua-dua pihak. Sebagai penutup perbincangan di antara kedua-dua pihak, Dekan Fakulti Pendidikan berkeyakinan penuh dan positif untuk mengadakan pertemuan susulan bagi peringkat kedua dalam masa yang terdekat yang turut sama dipersetujui sebulat suara oleh semua wakil yang hadir.