Seri Iskandar, 19 Februari 2024 – Program Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif dan Galeri Al-Biruni UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah menganjurkan Majlis Perasmian Pameran Pelajar Diploma Seni Halus “Pancawarna”. Pameran ini telah berlangsung pada 7 Februari 2024 hingga 9 Februari 2024 yang lepas di Galeri Al-Biruni UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Perasmian Pameran Pelajar Diploma Seni Halus “Pancawarna” telah dirasmikan oleh Bayu Utomo Radjikin yang merupakan seorang pengkarya visual ternama dalam aliran seni kontemporari di Malaysia.
Matlamat pameran ini diadakan adalah bagi mendedahkan pelajar akhir Diploma Seni Halus dalam proses pembelajaran yang bermula dengan pemilihan tema, subjek, penceritaan dan teknik untuk penghasilan karya sehingga proses pengurusan pameran karya visual di ruang galeri. Penghasilan karya ini melibatkan empat bidang iaitu seni catan, seni lukisan, seni cetakan dan seni arca. Aktiviti pameran ini dijalankan oleh semua pelajar diploma tahun akhir di bawah bimbingan semua pensyarah dari Program Seni Halus.
Menurut Koordinator Program Seni Halus, Dr. Mohd Fawazi Bin Arshad semangat budaya pameran seni halus perlu diteruskan oleh pelajar kerana aktiviti ini dapat mendedahkan semua dengan semangat kerja berpasukan. Disamping itu juga, aktiviti ini boleh meningkatkan keyakinan tinggi dalam diri pelajar dengan mempamerkan karya kepada masyarakat luar. Beliau juga menggalakkan pelajar seni halus UiTM Cawangan Perak melibatkan diri dengan pameran dan pertandingan diluar kampus bagi meningkatkan jumlah perkarya seni halus yang lebih kreatif.
Dalam majlis perasmian tersebut, Bayu Utomo Radjikin ada menyatakan hasrat beliau dimana semua pelajar seni halus sebaiknya mencari identiti diri dalam menghasilkan karya. Menurutnya lagi sebagai seorang pengkarya seni, ekspresi dalam penjanaan idea bagi penghasilan karya itu perlu wujud dari hati setiap individu. Oleh itu, melalui program ini proses pembelajaran dapat dilihat dengan jelas dalam proses penghasilan karya diantara pelajar dan pendidik di dalam kampus. Bayu Utomo Radjikin menyeru setiap pelajar supaya sentiasa berfikiran terbuka dalam proses kritikan seni sewaktu proses penilaian karya seni bagi memupuk serta mewujudkan jiwa yang kental apabila berhadapan dengan dunia seni halus yang sebenar setelah melangkah keluar daripada universiti. Dengan itu, pameran ini diharapkan dapat memberi manfaat dalam mewujudkan satu pemikikan perkembangan budaya intelektual akademik seni halus.
Pameran Pelajar Diploma Seni Halus telah menarik pengunjung luar ke kampus UiTM Cawangan Perak dalam menghayati karya yang dipamerkan. Pameran ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat untuk memahami nilai estetika dan menghayati interpretasi makna konteks seni dalam setiap karya.