Peranti Siswa Keluarga Malaysia Manfaat Lebih 6500 Mahasiswa UiTM Shah Alam

13 Oktober 2022, Shah Alam – Peredaran masa seiring dengan kemajuan teknologi memberikan impak positif kepada sistem pendidikan melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang sistematik dalam mempertingkatkan kualiti pembelajaran bagi mendepani era digital. Tambahan pula, peralihan fasa endemik menyumbang kepada peningkatan teknologi dalam mengakses medium pembelajaran alaf baru. Penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan mampu membantu melonjakkan prestasi dan celik teknologi dalam kalangan mahasiswa. Justeru, telah menjadi satu keperluan untuk setiap mahasiswa bagi mempunyai sebuah peranti untuk mengikuti pembelajaran dengan lebih berkesan.

Peranti Siswa Keluarga Malaysia merupakan inisiatif daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Belanjawan 2022. Inisiatif ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu mahasiswa kategori B40 mengikuti pembelajaran dengan lebih kondusif dan sistematik secara bersemuka mahupun dalam talian. Tambahan pula, Peranti Siswa Keluarga Malaysia juga adalah salah satu usaha dan hasrat kerajaan bagi merapatkan jurang digital dalam kelompok Keluarga Malaysia.

Setiap permohonan Peranti Siswa akan ditapis mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM). Antaranya, pemohon adalah warganegara Malaysia, daripada kategori keluarga B40 yang sedang mengikuti pengajian di peringkat Matrikulasi, Asasi, Diploma, Diploma Vokasional Malaysia, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Pelajar Tingkatan Enam (STPM) di bawah KPM (2 semester), bukan pelajar tahun akhir pada tahun 2022, mengikuti pengajian secara sepenuh masa dan tidak pernah menerima bantuan peranti daripada mana-mana program di bawah Kerajaan. Setiap pemohonan yang layak bakal menerima model terkini tablet Samsung yang dilengkapi dengan pelindung, papan kekunci dan ‘stylus pen’.

Sehingga 17 Oktober 2022, anggaran seramai 6,500 mahasiswa UiTM telah berjaya menerima inisiatif ini menerusi permohonan yang telah diluluskan oleh K-KOMM dan saringan yang telah dibuat oleh Unit Pengurusan Kebajikan Pelajar (UPKP) Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM. Menerusi e-mel yang telah diuar-uarkan kepada pelajar yang berjaya permohonan, agihan peranti ini telah dilakukan bermula pada 13 Oktober hingga 17 Oktober 2022 bertempat di Dewan Resital Panca Sakti, Pusat Kebudayaan, Kompleks Budisiswa UiTM Shah Alam. Menurut Timbalan Naib Canselor HEP, YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, proses agihan peranti siswa berjalan dengan lancar dan teratur mengikut masa yang ditetapkan. Harapan beliau agar peranti yang diterima dapat digunakan sebaiknya oleh mahasiswa dalam mengikuti pembelajaran dan menamatkan pengajian dengan cemerlang.