PUTRAJAYA, 17 Julai 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) meraikan para penyelidik menerusi Majlis Sanjung Sarjana UiTM 2023 yang berlangsung pada 17 Julai 2023 bertempat di Hotel Dorset, Putrajaya.
Pada tahun 2022, pelbagai pencapaian berimpak dalam penyelidikan dan inovasi telah dipamerkan dan ini merupakan satu perkembangan yang positif. Antaranya adalah peningkatan ketara jumlah penghasilan penerbitan berindeks sebanyak 5,029 dan jumlah perolehan geran penyelidikan turut mencapai sasaran yang telah ditetapkan (RM 77,748,829). Untuk rekod, UiTM juga telah dinobatkan sebagai penerima tertinggi Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) yang ditawarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun lalu. Selain itu, beberapa penyelidik UiTM juga telah diiktiraf di peringkat global apabila berada dalam kelompok 2% terbaik dalam bidang masing-masing.
Majlis Sanjung Sarjana yang diadakan bertujuan memberi penghargaan dan penghormatan kepada warga penyelidik UiTM yang telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam usaha membantu universiti meningkatkan pencapaian khususnya dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Tiga kategori penganugerahan telah disampaikan; Anugerah Khas dan Utama, Invention, Innovation & Design Exposition (iidex2022), Anugerah Jurnal UiTM serta Anugerah Penyelidikan & Inovasi UiTM. Seramai 162 penerima telah diraikan dengan membawa pulang hadiah berbentuk trofi, wang tunai dan sijil penghargaan mengikut kategori masing-masing.
Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh Yang Berusaha Encik Mizan Masram, Group Chief Business Officer – Retail Banking Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang mengetuai delegasi BIMB. BIMB telah menjadi penaja utama iidex anjuran UiTM sejak 17 tahun yang lalu.
“BIMB akan terus menjelajahi perkongsian dan kerjasama potensial dengan penyelidik, untuk menggabungkan sepenuhnya potensi penyelesaian inovatif, serta untuk menyumbang kepada kemajuan industri dan kesejahteraan masyarakat, bagi mencipta masa depan yang lebih inklusif, lestari, dan sejahtera.” berkata demikian dalam ucapannya.
Turut hadir di Majlis ini, YBhg. Profesor Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Ts. Dr Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), UiTM, YBhg. Profesor Dr Nor Azura Md. Ghani, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, UiTM, YBhg. Profesor Dr Mohd Rozi Ahmad, Pengarah Neksus Penyelidikan UiTM, barisan Penolong Naib Canselor, Dekan, Rektor, Pengarah dan Para Penyelidik.
YBhg. Datuk Naib Canselor dalam ucapannya berkata “Penyelidikan bukan hanya mencipta pengetahuan baru, tetapi juga menyediakan penyelesaian lestari yang menjamin kesejahteraan generasi masa depan. Penyelidik perlu mempunyai tanggungjawab untuk menangani cabaran global yang begitu mendesak seperti perubahan iklim, keterbatasan sumber, dan ketidaksetaraan sosial.” Ini adalah selari dengan aspirasi UiTM untuk terus menjalankan penyelidikan berimpak dan bersifat translasional, seterusnya menyokong matlamat strategik, menjadi sebuah universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025.
Tahniah diucapkan kepada semua penyelidik, Fakulti, Kolej, UiTM cawangan, UiTM kampus, serta HICoE/CoE UiTM atas penganugerahan yang diterima. Semoga prestasi cemerlang yang ditunjukkan ini akan memberikan impak signifikan ke arah pencapaian yang lebih unggul di masa akan datang.
#UiTM #GRU2025 #TNCPIUiTM #bevisible