Lawatan Kerjasama & Menandatangani LoI antara Kolej Pengajian Alam Bina dan Konsorsium Pendidikan Tinggi dan Cendikiawan Nusantara

Telah berlangsung pada tanggal 4 Julai 2023, satu program Lawatan Kerjasama serta Menandatangani ‘Letter of Intent’ (LoI) yang telah dikelolakan oleh Pengerusi Program, Prof. Madya Ir Ts Dr Rumaizah Mohd Nordin bertempat di Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Program ini telah dihadiri oleh seramai 34 orang peserta delegasi yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mewakili 15 Pengajian Tinggi dari negara jiran, Indonesia serta wakil dari Fakulti Kejuruteraan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program ini secara umumnya bertujuan untuk meneroka peluang kolaborasi serta mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara institusi-institusi pengajian tinggi di rantau Asia Tenggara.

Ketibaan delegasi ini di KAB pada lebih kurang jam 10:00 pagi telah disambut oleh Pengerusi Program, Ketua Pengajian Pembinaan dan Ukur Bahan dan beberapa orang jawatankuasa program. Delegasi kemudiannya diiringi ke dewan kuliah dan majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Alam Bina, Profesor TPr Dr Jamalunlaili Abdullah dan seterusnya ucapan balas oleh Ketua Delegasi Konsorsium Pendidikan Tinggi dan Cendikiawan Nusantara (KPTCN), Profesor Dr H. Supari Muslim. Sesi suaikenal bersama delegasi juga telah diadakan secara ringkas dan santai. Program pada sebelah pagi ini diakhiri dengan acara kemuncak iaitu upacara menandatangani ‘Letter of Intent’ (LoI) antara wakil KAB iaitu Penolong Naib Canselor sendiri dan Ketua Delegasi KPTCN disaksikan oleh Pengarah, Rakan Kerjasama Strategik Global UiTM, Profesor Dr Ahmad Naqiyuddin Bakar.

Delegasi ini kemudiannya dibawa melawat ke galeri pameran KAB yang mempamerkan hasil-hasil kerja dan pencapaian terkini para pelajar dan pensyarah sebelum berhenti berehat untuk makan tengahari. Aturcara lawatan delegasi ini kemudiannya disambung pada sebelah petang, dengan sesi penerangan ringkas oleh Ketua Pengajian Pembinaan dan Ukur Bahan, Ts Dr Julitta Yunus. Delegasi juga telah dibawa melawat makmal dan bengkel sekitar KAB serta meninjau secara dekat kemudahan dan fasiliti yang terdapat di KAB.

Pada penghujung program lawatan kerjasama ini, satu persetujuan telah dicapai untuk melaksanakan program mobiliti akademik iaitu ‘Summer-School Programme’ yang bakal dilaksanakan seawal Ogos 2023. Program ini mendapat reaksi positif dan sokongan yang padu daripada kedua-dua belah pihak. Beberapa kesepakatan lain juga telah dipersetujui antaranya ialah pertukaran penyelidikan dan projek-projek antarabangsa yang berkaitan teknologi dan kejuruteraan. Di samping itu, turut dibincangkan adalah mengenai penganjuran bersama seminar antarabangsa dan kolaborasi atau penulisan bersama artikel-arkitel di dalam pelbagai bidang merangkumi aspek teknologi, komuniti, sosio dan budaya seantero nusantara. Program ‘Students Exchange’ yang melibatkan para pelajar daripada pelbagai bidang yang melibatkan beberapa kolej pengajian dan fakulti juga akan diperincikan untuk dipersetujui nanti.

Secara umumnya, hasil lawatan ini bukan sahaja memupuk sinergi dalam bidang akademik dan penyelidikan malahan ianya akan meningkatkan usaha pengantarabangsaan dan menggalakkan pemahaman budaya pelbagai negara di rantau Asia Tenggara. Ini seterusnya akan menjadi pemangkin kepada penglibatan bersama warga akademik di rantau ini bagi membentuk satu kerjasama antarabangsa yang menyeluruh. Diharapkan semoga kerjasama ini bakal membuka peluang kepada perkembangan pendidikan dan hubungan erat di antara institusi-institusi pengajian tinggi di rantau Asia Tenggara.

Galeri Gambar: