SETIAP hari kita tidak boleh mengelak terdengar dan terbaca berita mengenai Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) di negara ini. Namun, apakah retorik ini terpakai untuk sektor pendidikan, khasnya untuk inisiatif Pendidikan 4.0 atau Pendidikan Abad Ke-21 (PAK-21)?
Pandemik COVID-19 menjadi suatu sumpahan ke atas umat manusia seluruhnya. Pada masa sama, sumpahan ini memaksa guru dan pensyarah membawa kelas serta kuliah mereka ke alam maya demi meneruskan proses pendidikan formal. Jangan kita lupa pada peringkat awal pandemik, guru dan pensyarah Malaysia mencatatkan bilangan tertinggi pengguna aplikasi Google Classroom dan seumpamanya.
Maka, sumpahan pandemik COVID-19 sebenarnya membawa penawar amat ampuh kepada sebilangan guru dan pensyarah yang masih takut-takut serta tidak mahu menjadi pendidik era PAK-21. Benar, jurang digital masih luas di negara kita terutama di kawasan luar bandar. Kisah siswi terpaksa memanjat pokok dan siswa terpaksa berkhemah di dalam hutan demi untuk mendapat liputan internet lebih lancar mengejutkan kita semua.
Namun, apa yang sebenarnya menjadi kejutan ialah pandangan dunia dan sikap segelintir guru serta pensyarah yang tidak mahu membuka minda dan menjadi pendidik era PAK-21. Begitu banyak alasan diberikan, termasuk ada menolak bulat-bulat penggunaan teknologi dengan alasan mereka akan berpencen tidak lama lagi atau berasakan teknologi pembelajaran tidak penting dalam bilik darjah atau dewan kuliah mereka.
Jika ini pandangan dunia dan sikap segelintir pendidik di sekolah serta universiti, apakah nanti kesudahannya untuk generasi muda negara? Cara belajar Generasi Z dan Generasi Alfa tidak sama dengan cara kita dan ibu bapa belajar dahulu. Anak Generasi Alfa yang mula lahir pada 2010, kini berada di Tahun Empat di sekolah rendah. Bayangkan apa yang mungkin terjadi jika mereka dididik guru yang ‘gagap teknologi’ dan tidak mahu menggunakan teknologi untuk merangsang minda mereka?
Namun, ini realiti di sekolah dan universiti. Sebagai contoh, berapa ramaikah pensyarah masih menggunakan perisian PowerPoint untuk berkuliah sedangkan teknologi persembahan melalui aplikasi Prezi, Emaze mahu pun Sway lebih berupaya menarik minat dan mengekalkan tumpuan siswa dan siswi?
Anjakan paradigma dalam kalangan pendidik seperti ini bukan suatu pilihan, namun menjadi suatu keperluan. Teknologi lama membosankan perlu diganti dengan teknologi baharu dan lebih mengujakan. Pandemik dahsyat yang sedang kita lalui ini seharusnya membuka mata pendidik dan memaksa kita semua untuk lebih responsif kepada keperluan pelajar di sekolah serta universiti.
Apalah gunanya kuliah ‘dibebel’ menggunakan perisian PowerPoint jika pada hujung waktu kuliah, siswa dan siswi datang dengan pemacu pena USB dan meminta salinan fail berkenaan untuk mereka belajar sendiri?
Teknologi pembuatan IR 4.0 yang termaju kini membawa aplikasi realiti maya seperti VR, AR dan video 360-darjah yang lebih imersif, interaktif serta dapat memberi pendedahan kepada ilmu dan kemahiran 24 jam sehari.
Teknologinya sudah ada, namun di mana pula pendidiknya? Apakah mereka masih menggunakan teknologi lama atau lebih teruk lagi, ‘gigih’ menolak penggunaan teknologi pengajaran dan pembelajaran dengan 1001 alasan? Usia, jantina mahu pun tahap kemahiran teknologi seorang pendidik tidak boleh lagi menjadi alasan untuk melarikan diri daripada PAK-21.
Kalau kita boleh memaksa anak didik kita untuk rajin belajar, apakah alasan kita untuk malas belajar memanfaatkan teknologi PAK-21 di dalam bilik darjah atau dewan kuliah? Mungkin bilangan pendidik menolak atau takut dengan teknologi tidak besar jika dibandingkan dengan pendidik sedang berusaha untuk menjadi pengamal dan pembangun bahan (content developer) PAK-21.
Namun, bagi negara membangun yang kini semakin hampir ke taraf negara maju, semua pendidik Malaysia – tidak kira usia (sebelum bersara), jantina, tahap kemahiran teknologi mereka – perlu membuka minda dan berani berubah menjadi pendidik yang juga pengamal teknologi pengajaran dan pembelajaran terkini.
Tidak dapat disangkal lagi, dunia pendidikan pasca-pandemik akan menjadi lebih mencabar dan penuh dengan gangguan. Rugilah Malaysia, jika teknologi PAK-21 tidak dapat dimanfaatkan untuk menghadapi masa depan.