Pensyarah FSPU Bantu Jayakan Program MUF2020

 

Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) terus menjalinkan kerjasama dengan pihak industri apabila 5 pensyarah dari Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah iaitu TPr. Dr. Marlyana Azyyati Marzukhi, YM Dr. Raja Norashekin Raja Othman, Dr. Mohd Azren Hasan, Dr. Muhammad Hakim Danial dan Dr. Khalid Zanudin telah bersama-sama menyumbangkan khidmat sebagai Rapporteur untuk menjayakan program Malaysia Urban Forum (MUF2020). Selain dari pensyarah, pelajar dari program Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (AP221) turut sama-sama menjayakan forum tersebut dengan menjadi sukarelawan sepanjang forum tersebut diadakan. Program ini telah dianjurkan oleh Urbanice Malaysia secara hibrid di Auditorium Bangunan Sulaiman, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur dan secara maya di platform virtual http://www.muf2020.mego.events.

MUF2020 adalah merupakan forum peringkat kebangsaan yang menjadi platform kepada pembuat dasar, pakar dan pihak industri untuk berbincang, bertukar pandangan dan mengadakan dialog bagi membincangkan strategi, polisi dan program yang dapat dimanfaatkan oleh kerajaan bagi menyelesaikan isu perbandaran. Dengan adanya hasil perbincangan dari forum, ianya akan memberi maklumat kepada kerajaan untuk menghasilkan kerangka kerja bagi mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2020.

Forum yang telah diadakan dari 28 hingga 30 September 2020 telah menarik penyertaan 8,808 peserta secara atas talian dari 70 buah negara. Lebih dari 150 orang penceramah telah memberikan pandangan dan idea sepanjang forum ini diadakan yang melibatkan lebih dari 40 sesi dialog.

Keseluruhannya, forum ini telah memberikan platform kepada pensyarah-pensyarah Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah untuk meluaskan jaringan kerja dengan pemain industri dan pakar-pakar dari serata dunia mengenai isu dan amalan terkini perancangan bandar. Kerjasama baik yang dijalinkan antara FSPU dan Urbanice Malaysia akan terus memberikan manfaat kepada Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah dan pelajar-pelajar di masa akan datang.