Penolong Pegawai Belia dan Sukan Kanan UiTM Cawangan Pahang ke Sukan SEA 2022

UiTM Cawangan Pahang merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Encik Mukhriz bin Mohamed, Penolong Pegawai Belia & Sukan Kanan yang juga merupakan Pengerusi Teknikal dan Pertandingan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) di atas pelantikan sebagai Pegawai Teknikal Sukan Memanah bagi Temasya Sukan Sea Vietnam ke-31 yang dijadualkan bermula pada 15 sehingga 19 Mei 2022 bertempat di .Hanoi Sports Training and Competition Centre.

Encik Mukhriz merupakan salah seorang daripada pengerak utama sukan memanah diperingkat kebangsaan dan beliau sangat aktif sebagai individu dibelakang tabir bagi Negeri Pahang sehingga telah mengangkat Memanah Pahang sebagai Johan keseluruhan pada SUKMA Perak 2018.

Ketika pendemik covid-19, beliau, selaku Pengerusi Teknikal dan Pertandingan NAAM telah bersama pasukan beliau mengadakan beberapa Kejohanan Virtual bagi mengerakkan aktiviti memanah yang telah lama terhenti. Beliau juga dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Kejohanan bagi Kejohanan bawah 12 dan 15 tahun kali pertama yang dianjurkan oleh NAAM yang bakal diadakan pada 3 hingga 5 Jun 2022 bertempat di Stadium Mini UiTM Cawangan Pahang.

Di peringkat antarabangsa, beliau adalah pengurus dan Jurulatih bagi pasukan Universiti Malaysia dan UiTM. Setakat ini, beliau telah membantu UiTM Cawangan Pahang, Negeri Pahang, UiTM dan Universiti Malaysia memenangi 1030 pingat diperingkat negeri sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sesungguhnya pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh beliau dapat dirasai warga UiTM dan telah memberi manfaat kepada masyarakat dan negara serta memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur dan menyediakan pendidikan berkualiti kepada komuniti.

Berdasarkan pelan strategik universiti, penglibatan beliau ini dapat mengukuhkan misi jangka panjang dan sederhana UiTM agar berperanan lebih proaktif dalam membudayakan nilai teras SDG tanpa membataskan peranannya hanya sebagai pusat penyebaran ilmu.