Setiap kali menjelang hari kemerdekaan, masyarakat kurang didedahkan peranan Raja-Raja sebagai ketua pemerintah dalam menuntut hak kemerdekaan. Kisah tentang perjuangan kemerdekaan yang sering dikembangkan adalah kisah dari wakil-wakil politik sampai terlupa untuk mengisahkan jua pengorbanan institusi beraja dalam menuntut kemerdekaan. Lantas, tidak seharusnya kita bersifat alpa bahawa peranan Raja-Raja adalah restu kepada proses kemerdekaan yang digerakkan oleh wakil pemimpin-pemimpin masyarakat. Tidak boleh dinafikan permuafakatan Raja-Raja di setiap negeri Melayu yang menjadi asbab utama Persekutuan dapat ditubuhkan.
Tajuk ini kurang didedahkan kepada masyarakat bahawa Raja-Raja pemerintah terlibat sama dalam perjuangan kemerdekaan secara langsung. Imbas kembali zaman selepas Perang dunia ke-2, British kembali semula ke Tanah Melayu dan menubuhkan Malayan Union yang merupakan satu pemerintahan baru dengan cara penyeragaman urusan pentadbiran secara kesatuan. Ada yang tanya mengapa Raja-Raja menandatangani perjanjian Malayan Union? Hendaklah melihat situasi pada ketika itu, situasi selepas Perang Dunia ke-2 yang agak huru hara, tambahan ancaman dari puak-puak radikal seperti komunis. Paksaan dan tipu helah menjadi strategi supaya baginda-baginda menandatanganinya. James Allen berpandangan bahawa Malayan Union ini sebagai salah satu penghormatan kepada masyarakat Cina yang telah menyokong British semasa perang (The Malayan Union 1967:9). Maka itu pelaksanaan Malayan Union telah memadamkan terma keistimewaan kaum Melayu sebagai kaum pemilik tanah air ini. Dengan nasihat dari kaum Melayu, Raja-Raja telah memboikot majlis pelancaran Malayan Union.
Berbalik kepada persoalan tadi, ada pihak yang mentafsirkan baginda menandatangani kerana ingin menyelamatkan kedudukan dan takhta baginda. Ada yang melihat dari sudut negatif, tapi seharusnya kita perlu lihat dari sudut positif. Kedudukan takhta itu jika diganggu gugat, bagaimana institusi beraja dan bagaimana nasib rakyat jelata yang taat kepada Raja pemerintah? Maka dengan itu, kedudukan takhta perlu diselamatkan supaya kelangsungan tanggungjawab institusi beraja sebagai payung yang melindungi kedaulatan negara dan rakyat.
Sebelum tanggal keramat 31 Ogos 1957, kemenangan berpihak kepada Parti Perikatan dalam Pilihan Raya 1955, telah berlangsungnya persidangan bersama Raja-Raja untuk memulakan proses menuntut kemerdekaan. Secara berseloroh, tiap-tiap tanah pasti ada tuannya, maka keizinan atau perkenan dari tuan tanah itu menjadi pembuka jalan membina sebuah rumah di tanah tersebut dengan baik. Wakil Persekutuan Tanah Melayu ke London, mereka sebenarnya mendapat keizinan terlebih dahulu oleh Raja-Raja. Seramai lapan orang wakil yang terdiri daripada empat orang wakil Raja-Raja iaitu Dato’ Haji Wahab Abd Aziz (Menteri Besar Perak), Encik Abdul Aziz Abdul Majid (Menteri Besar Selangor), Dato’ Mohd Seth Mohammad Said (Menteri Besar Johor), dan Dato’ Nik Ahmad Kamil Haji Mahmood (Menteri Besar Kelantan), manakala empat orang wakil dari Parti Perikatan adalah Tunku Abdul Rahman (sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu), Dato’ Abdul Razak Hussein, H.S. Lee dan Dr. Ismail Abdul Rahman.
Menurut mantan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz (dalam siri Wacana Bual Bicara Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Siri 20 & 21: 2021), ketika itu trend bagi negara yang ingin merdeka, hendaklah menjadi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Maka trend tersebut, Raja-Raja bersetuju negara ini melaksanakan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Bayangkan sekiranya Raja-Raja tidak berkorban untuk menjadi Raja Berperlembagaan, maka kemerdekaan yang ingin dicapai mungkin mengambil masa yang agak lama lagi. Monarki mutlak kepada monarki berperlembagaan bukan salah satu tindakan yang mudah dipersetujui oleh baginda-baginda, namun demi kemerdekaan, Raja-Raja berkorban dan ia satu kurniaan yang besar buat negara. Sistem Raja Berperlembagaan itu bukanlah satu sistem yang akan membenamkan institusi beraja, malah ia mengangkat kewibawaan institusi tersebut. Menjamin kewibawaan telah menjadi asbab utama Raja menerima sistem tersebut dan menerima cara hidup demokrasi dengan menurunkan sebahagian kuasa baginda kepada orang yang dipilih mengikut cara demokrasi (wakil rakyat).
Seterusnya, perlu difahami bahawa sistem Raja Berperlembagaan ini mengiktiraf kedudukan Raja sebagai ketua pemerintah negara. Bezanya dengan sistem monarki mutlak, kuasa baginda terhad mengikut kehendak perlembagaan. Harus diketahui bahawa kedaulatan Raja-Raja inilah yang telah mengabsahkan Perjanjian Persekutuan 1948 yang diinstitusikan menjadi Perlembagaan Persekutuan (Wan Ahmad Fauzi, 2018: 254-264). Secara nyata, penjajah sebenarnya ingin menghapuskan kedaulatan Raja seperti mana yang telah mereka hapuskan institusi ini di Myanmar, India, Hawaii dan lain-lain negara. Disebabkan kekuatan bangsa Melayu yang kekal taat dan mendaulatkan Raja pemerintah menyebabkan penjajah tidak berani menghapuskannya. Kesilapan British menubuhkan Malayan Union telah membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu sehingga terpaksa membubarkannya kerana tamparan hebat yang telah mereka terima dari kaum Melayu.
Ke arah kemerdekaan, Duli-Duli Tuanku bersama Ratu United Kingdom, memperkenankan pelantikan Suruhanjaya Reid yang ditugaskan untuk merangka draf perlembagaan sebagai satu langkah kehadapan membina identiti sebuah negara bangsa. Jika tidak ada perkenan daripada baginda Raja-Raja maka tidak akan dilantik suruhanjaya tersebut. Perkenan baginda ini membuktikan bahawa kedaulatan Raja pemerintah Tanah Melayu masih ada dan ia pelindung rakyat dan negara. Apabila lantikan suruhanjaya bebas sudah dilaksanakan, dalam pada masa disertakan juga terma-terma lantikan daripada Raja-Raja sebagai garis panduan merangka undang-undang utama negara. Terma lantikan atau memorandum yang dikehendaki oleh Raja-Raja adalah supaya negara ini menjadi sebuah negara Persekutuan yang terdiri daripada Negeri-Negeri dan seluruh penduduk Tanah Melayu tidak mengira kaum. Kedudukan Raja sebagai Raja Berperlembagaan dan jawatan bagi Ketua Utama Negara yang diberi nama “Yang di-Pertuan Besar” (kemudian dikenali sebagai Yang di-Pertuan Agong) akan dipilih dalam kalangan Majlis Raja-Raja. Panduan seterusnya Raja-Raja mahu perlembagaan ini dimaktubkan perkara mengenai kewarganegaraan kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum dan hendaklah melindungi hak kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah komuniti-komuniti lain. Semua yang dilaksanakan ini adalah hasil dari kebijaksanaan buah fikiran baginda Raja-Raja dan ia adalah sumbangan terbesar yang dilakukan oleh Raja-Raja untuk mendapatkan hak kemerdekaan.
Raja-Raja juga telah menghantar satu memorandum atau hasrat baginda yang perlu dimasukkan di dalam perlembagaan. Antara memorandum yang dipanjangkan oleh baginda-baginda adalah jawatan Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih dalam kalangan Majlis Raja-Raja setiap lima tahun sekali. Memorandum ini juga mentakrifkan sesebuah negeri Melayu terus diakui mempunyai wilayah yang meliputi tanah, pulau dan suatu kawasan yang ditadbir sebagai sebahagian daripada negeri beserta wilayah perairan yang berhampiran dengan pantainya. Baginda semua berpegang, kawalan atas tanah dalam wilayah negeri baginda masing-masing adalah sebahagian daripada manifestasi kedaulatan (territorial sovereignty) (C.O 889/8, 1956: 3).
Umum mengetahui bahawa sangkala draf awal Perlembagaan Persekutuan siap, Raja-Raja tidak berpuas hati. Rentetan daripada ketidakpuasan tersebut, baginda semua memperkenan menubuhkan satu jawatankuasa kerja yang diketuai oleh peguam baginda, Neil Lawson untuk memastikan apa yang diasak oleh baginda-baginda dimasukkan ke dalam perlembagaan. Peguam bagi Raja-Raja meminta lebih banyak kuasa kepada baginda, antaranya adalah kuasa budi bicara seperti yang diperuntukkan di dalam Perjanjian Persekutuan 1948. Termasuk kuasa prerogatif melantik Perdana Menteri dan Menteri Besar yang akan menasihati baginda dalam urusan pemerintahan. Lawson menyatakan Majlis Raja-Raja mempunyai hak dan kuasa untuk merunding dengan apa-apa jua lantikan seperti mana yang termaktub di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (A.J. Stockwell, 1979: 17-107 & Albert Lau, 1991: 28-240). Raja-Raja juga menegaskan bahawa hak kewarganegaraan semua penduduk, kedudukan baginda sebagai ketua agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu termasuk hal-hal berkaitan Tanah Rizab Melayu. Majlis Raja-Raja tidak bersetuju dengan draf awal kerana suruhanjaya bebas ini juga mengurangkan peranan baginda dengan cara menyingkirkan baginda dari majlis sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong. Menurut Lawson, sumpah jawatan Ketua Utama Negara hendaklah dihadiri bersama ahli Majlis Raja-Raja dan Ketua Hakim Negara bagi menyempurnakan serta melengkapkan majlis gemilang tersebut (Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kerja Perlembagaan Persekutuan, 1957 & Suzana Hj. Othman, Hj. Muzaffar Dato’ Hj. Mohamad 2021: 121-132).
Selain itu, kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan agak kompleks sedikit pada mulanya. Natijah Majlis Raja-Raja tidak bersetuju dengan cadangan dari Parti Perikatan iaitu terma Islam sebagai agama bagi persekutuan dimaktubkan ke dalam perlembagaan kerana pendirian tentang hal ehwal agama Islam adalah urusan negeri dan harus kekal di bawah kuasa Raja pemerintah bagi setiap negeri. Jangan di salah erti tentang situasi penolakan cadangan tersebut, dan ia bukanlah mengambarkan seolah-olah Raja-Raja menolak Islam. Islam sudah lama bertapak di negara ini dan ia bukannya perkara baru yang dibincang pada ketika itu. Asbab ia tidak diterima, terma Islam dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah kerana ia melanggar tradisi Raja pemerintah sebagai Ketua agama Islam di Negeri masing-masing dan merasakan akan berlakunya campur tangan dalam urusan agama Islam di negeri-negeri (Proposal of Their Highnesses the rulers made of the Constitutional Commission, 1956: 93). Kerisauan baginda kerana sebelumnya, institusi Islam tidak pernah diusik oleh penjajah dan ia sudah menjadi amanah baginda-baginda semenjak era awal Islam disebarkan di tanah air ini.
Menurut Laporan Suruhanjaya Reid 1957, perenggan 169: m/s 75 menyatakan;
We have considered the question whether there should be any statement in the Constitution to the effect that Islam should be the State religion. There was universal agreement that if any such provision were inserted it must be made clear that it would not in any way affect the civil rights of non-Muslims. In the memorandum submitted by the Alliance it was stated the religion of Malaysia shall be Islam. The observance of this principle shall not impose any disability on non Muslim nationals professing and practising their own religions and shall not imply that the State is not a secular State. There is nothing in the draft Constitution to affect the continuance of the present position in the States with regard to recognition of Islam or to prevent the recognition of Islam in the Federation by legislation or otherwise in any respect which does not prejudice the civil rights of individual non-Muslims. The majority of us think that it is best to leave the matter on this basis, looking to the fact that Counsel for the Rulers said to us – “It is Their Highnesses considered view that it would not be desirable to insert some declaration such as has been suggested that the Muslim Faith or Islamic Faith be the established religion of the Federation. Their Highnesses are not in favour of such a declaration being inserted and that is matter of specific instruction in which I myself have played very little part”. Mr Justice Abdul Hamid is of opinion that a declaration should be inserted in the Constitution as suggested by the Alliance and his views are set out in his note appended to this Report.
Hal ini berlaku kerana Suruhanjaya Reid akur dengan kehendak Raja-Raja dimana baginda semua tidak mengalu-alukan cadangan dari Parti Perikatan untuk memaktubkan Islam sebagai agama Persekutuan. Namun begitu, Hakim Abdul Hamid (salah seorang ahli Suruhanjaya Reid yang beragama Islam) telah mengeluarkan kenyataan berbeza dari ahli-ahli anggota lain. Untuk memasukkan terma Islam adalah agama bagi Persekutuan tidaklah rumit kerana ia bukan satu perkara yang baru di implementasikan. Islam sudah tersemai sebagai agama bagi negeri-negeri Melayu dan meletakkan Islam adalah agama bagi Persekutuan adalah satu transplantasi (iaitu berubah tempat). Seperti mana kedudukan Islam di Negeri-Negeri, seperti itulah kedudukan Islam diiktiraf di peringkat Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara diangkat menjadi Ketua agama Islam Persekutuan. Tambahan, perkataan shall not imply that the State is not a secular State telah ditolak oleh Hakim Abdul Hamid dan tidak dimasukkan dalam mana-mana bahagian dalam perlembagaan. Akhirnya Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja telah memperkenan kenyataan Hakim Abdul Hamid dan memuktamadkan secara jelas bersama baginda Ratu United Kingdom sehingga tiada sepatah pun perkataan sekular wujud dalam Perlembagaan Persekutuan (Mahamad Naser Disa, 2016). Di sini kita dapat lihat kedudukan institusi beraja sebagai ketua agama tidak berubah langsung malah fungsinya kekal hingga sekarang. Setelah itu, cadangan memasukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dipersetujui dan kini terpahat pada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Intihanya, kemerdekaan yang difikirkan bukan hanya kepentingan kepada Duli-Duli Tuanku semata-mata. Ia adalah kepentingan sejagat, demi kemakmuran, berkerajaan sendiri tanpa dikelola oleh warga asing, dan yang paling penting adalah kedaulatan negara. Pada 27 Ogos 1957, Majlis Perundangan Persekutuan ditamatkan dan Perlembagaan Persekutuan dimasyhurkan dan dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957 bersamaan dengan pengisytiharaan kemerdekaan Tanah Melayu. Demokrasi yang sudah menjadi sistem yang diamalkan oleh kita sekarang ini adalah hasil pengorbanan dan tolak ansur antara rakyat dan Raja. Maka, pengorbanan baginda Duli-Duli Tuanku seharusnya sebagai rakyat jelata perlu bersama-sama memikul tanggungjawab dalam merealisasikan perjalanan demokrasi. Jika tidak berkorbannya Duli-Duli Tuanku, maka mana mungkin kita akan merasai demokrasi. Tidak lupa juga sistem Raja Berperlembagaan selayaknya difahami secara jelas supaya tidak mahu ada sangkaan buruk terhadap institusi beraja sehingga ada yang menyatakan bahawa institusi ini sepatutnya dihapuskan kerana kurang fungsinya kepada negara. Walhal fungsi Raja Berperlembagaan amat besar sekali dan ia membawa kekukuhan, dan kestabilan negara. Institusi Raja juga menjadi tonggak perpaduan rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana majmuk. Sudi memetik titah Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah; “institusi Raja perlu bijaksana memberi tafsiran kepada semangat yang terkandung dalam konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, kedua-duanya yang tidak seharusnya dijadikan instrumen menghalalkan cara jika perkara yang dinasihatkan itu sama sekali bertentangan dengan undang-undang dan bercanggah dengan prinsip Perlembagaan”. (titah sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-80 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar *petikan dari akhbar Berita Harian: Ogos 2008)