Penghargaan Muzakki dan Perasmian Etiqa AZKA-PPZ Corner: PTAR Bersama Membina Kesejahteraan Ummah

15 Mei 2024, Khamis – PTAR UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah dengan kerjasama Unit Waqaf, Zakat dan Infaq (EL-WAZIF), UiTM Cawangan Melaka telah menganjurkan Majlis Penghargaan Muzakki dan Perasmian Etiqa AZKA-PPZ Corner di Ruang Library Community Engagement (LCE), PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.

Tujuan majlis ini diadakan bagi menghargai sumbangan yang di salurkan oleh pihak Etiqa Takaful, Akademi Zakat (AZKA-PPZ), Lembaga Tabung Haji dan Persatuan Alumni UiTM Cawangan Melaka kepada UiTM Cawangan Melaka, khususnya sumbangan kepada pelajar-pelajar asnaf serta sumbangan dari Etiqa AZKA-PPZ Corner di PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah. Majlis yang telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Ts. Dr Mohd Rasdi Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka diserikan lagi dengan ucapan dari Encik Muhsin Nor Paizan, Pengurus Akademi Zakat (AZKA-PPZ) serta Encik Rosli bin Taib, yang menjalankan fungsi Pengarah Wilayah Selatan merangkap Pengurus Cawangan Melaka.

Antara aktiviti menarik sepanjang program berlangsung:
1. Forum Bicara Zakat dengan tajuk Waqaf dan Zakat, Membawa Berkat
2. Pertandingan “Spell It Right In Jawi”
3. Reruai Jom Tunai Zakat Bersama UiTM Melaka dari Unit Waqaf, Zakat dan Infaq, UiTM Cawangan Melaka (El-Wazif)
4. Reruai Tabung Haji, Alor Gajah, Melaka

Ruang hasil sumbangan ini bukan sahaja akan menyediakan perkhidmatan yang komprehensif dan mesra pengguna tetapi juga akan menjadi sumber rujukan utama untuk pelbagai maklumat berkaitan zakat, wakaf, dan inisiatif kebajikan lain. Selain itu, pelbagai aktiviti kesedaran dan pendidikan mengenai pentingnya zakat dan wakaf akan diadakan oleh pihak Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) bersama rakan kerjasama strategik. Ini termasuk program pembudayaan ilmu, seminar, latihan, program literasi maklumat, dan sebagainya yang bertujuan untuk memperkaya pengetahuan dan pemahaman masyarakat tentang peranan zakat dalam pembangunan ekonomi ummah.

Norhazlan Nordin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan yang menjadi wakil PTAR percaya bahawa dengan adanya Etiqa AZKA-PPZ Corner ini, kita dapat mengukuhkan lagi jaringan kerjasama antara semua pihak yang terlibat, dari muzakki, badan-badan zakat, hingga penerima manfaat. Bersama-sama, kita dapat membina komuniti yang lebih sejahtera, di mana nilai-nilai kebersamaan dan tanggungjawab sosial dipupuk dan diamalkan secara berterusan.

Bercakap pada majlis yang sama, Profesor Ts. Dr Mohd Rasdi Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka, universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu, memainkan peranan penting dalam menyokong dan mempromosikan pengurusan waqaf dan zakat yang lebih efektif dan berkesan. Bantuan kewangan dari zakat dapat mengurangkan tekanan dan kebimbangan kewangan yang menghimpit sebilangan pelajar. Ini membantu mereka mengekalkan kesejahteraan mental dan emosi yang penting untuk prestasi akademik yang baik dan kehidupan seharian yang seimbang.

Gambar penuh : https://www.facebook.com/photo?fbid=3756037238014978&set=pcb.3756045898014112
Maklumat Penulis : Hazlin Ibrahim Khan, Pustakawan Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka.