Penggambaran Rancangan TV untuk Siaran RTM di Pusat Latihan Negeri UiTM Pahang

Sesi penggambaran bersama Rektor UiTM Cawangan Pahang, Ybhg. Prof Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan, Presiden Memanah Negeri Pahang (PMNP), Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad, Timbalan Presiden PMNP, Ir Kamarul Hisyam Kamaruzzaman, Jurulatih Pusat Latihan Negeri UiTM Pahang (PLN UiTMCPh), Muhammad Aman Mohammad Zahir dan pemanah-pemanah UiTM, Negeri Pahang dan PLN UiTMCPh telah diadakan pada 18 Mac 2023 bertempat di PLN UiTMCPh, Bandar Jengka, Pahang Darul Makmur.

Prestigious Power Sdn Bhd menjalani kerja penggambaran ini bagi pihak RTM untuk rancangan television bertajuk Jurnal Sukan yang bakal disiarkan pada penghujung tahun ini. PLN UiTMCPh telah terpilih kerana kejayaan-kejayaannya mengadakan kerjasama bersama Majlis Sukan Negeri Pahang, melahirkan pemanah-pemanah peringkat negeri dan negara yang telah memenangi pingat-pingat di Sukan Malaysia, Asean University Games, MASUM, SUKIPT, World University Championship, Sukan SEA, Asian Grand Prix, Test Match Commonwealth Games dan kemuncaknya World Cup.

PLN UiTMCPh ini bermula dengan Kelab Memanah UiTM Pahang pada 13 Jun 2006. Ianya telah ditubuhkan oleh Dr Mohamad Azmi bersama 24 orang pelajar UiTMCPh. Setakat ini PLN UiTMCPh telah memenangi 1030 pingat di pelbagai Kejohanan dan lebih 50 anugerah dan pengiktirafan. Antara pengiktirafan yang menarik ialah Kejohanan sepanjang malam dengan kerjasama Majlis Sukan Kelantan yang telah tersenarai di dalam The Malaysia Book of Records.

Krew Pengambaran merakam sesi latihan pemanah pelapis, pemanah UiTM dan pemanah dalam kalangan staf yang dikawal selia oleh Coach Aman Zahir. Selepas itu, sesi temubual diadakan. Rakaman yang mengambil masa 6 Jam itu telah berjalan lancar dan sedikit sebanyak ianya adalah satu pengiktirafan dan penghargaan kepada PLN UiTMCPh ini yang telah memasuki usia 17 tahun ini.