Program Bicara Khazanah Nasihat Al-Muluk : Pengenalan Kitab Risalah Iskandar Syah oleh Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak ke-30)

Ins

27 Dis. 2023 – Shah Alam, Tahukah kita Negeri Perak pernah diperintah oleh seorang Sultan yang memiliki sifat peribadi yang soleh. Baginda merupakan pemerintah Negeri Perak yang ke-30 iaitu Sultan Iskandar Shah atau nama sebenarnya adalah Raja Alang Iskandar Shah. Baginda merupakan putera kepada Almarhum Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah dan moyang kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. 

Sultan Iskandar Shah dikenali dengan sifat soleh dan baginda sendiri selalu menyampaikan ceramah agama Islam di masjid-masjid sambil mencemar duli melawat rakyat jelata Negeri Perak. Baginda juga telah mengarang sebuah kitab yang bertajuk Risalah dimana intisarinya mengenai nasihat, ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf. Maka dengan itu, Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu tidak melepaskan peluang untuk membicarakan kitab yang dikarang sendiri oleh baginda.

Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu telah mengundang dua orang panel iaitu Dr. Wan Kamal Nadzif Bin Wan Jamil (Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar) dan Ustaz Saidi Adnan Bin Md Nor (Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak Kampus Tapah) dalam program Bicara Khazanah Nasihat Al-Muluk yang bertajuk Pengenalan Kitab Risalah Iskandar Syah oleh Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak ke-30). Program ini digerakkan pada jam 10.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari dan dipandu oleh Saudara Muhammad Sulaiman Badri Bin Mohd Razali (Presiden Sekretariat Rukun Negara Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Menurut Dr. Wan Kamal, dalam kitab Risalah ini mempunyai beberapa hal, antaranya mengenai nasihat. Nasihat yang dikarang oleh baginda berbunyi seperti “Hai ulama yang jahat, jangan kamu jadikan diri kamu seperti tempat diayak tepung. Yang keluar daripadanya itu tepung yang lumat-lumat lagi baik, dan yang tinggal di dalamnya itu tepung yang kasar-kasar dan sekam. Dan seperti demikianlah kamu itu, kamu keluarkan daripada mulut kamu itu beberapa ilmu hikmah yang halus-halus lagi baik. Padahal kamu tinggal di dalam dada kamu dendam dan dengki, dan kasih akan harta, dan kasih akan dunia, dan kasih akan kemegahan, dan kasih akan masyhur, dan kasih akan jadi kepala orang, dan kasih akan puji oleh orang, dan barang sebagainya maksiat yang batin, dan segala perangai yang jahat, dan segala perangai munafik”.

Di dalam kitab tersebut  juga mempunyai petikan doa Imam Syafie yang bermaksud “Ya Allah, kurniakan kami kejernihan makrifat (ilmu mengenal Allah), anugerahkan kami interaksi yang baik di antara kami dengan-Mu, di atas (jalan) Sunnah wal Jamaah (Nabi dan Sahabat), dan benarnya pergantungan (tawakal) kepada-Mu, dan bersangka baik terhadap-Mu*Dan kurniakan kami segenap (cara) yang dapat mendekatkan kami kepada-Mu, disertai kemaafan pada dua tempat kehidupan (di dunia dan akhirat), wahai Tuhan sekalian alam.”

Menurut Ustaz Saidi, Baginda memuatkan banyak nasihat berkaitan akhlak, ibadat, tatacara pemerintan kepada pelbagai peringkat rakyat baginda. Bermula daripada golongan bangsawan, pentadbir sehinggalah rakyat jelata. Nasihat termasuk ibadah, akhlak, tatacara pentadbiran, kebersihan dan lain-lain perkara. Kitab Risalah Iskandar Syah ditulis menggunakan Bahasa yang mudah difahami. Terdapat sedikit gaya Bahasa istana tetapi umumnya menggunakan laras Bahasa kitab-kitab turath Melayu. Bahasa yang digunakan telah menunjukkan Baginda berhasrat menjadikan kitab ini sebagai bacaan umum rakyat, sebagai arahan kepada pembesar dan menasihati rakyat jelata. Dalam konteks pembahagian bab, bab Tauhid, Fiqh dan Tasawuf di susun dengan tertib. Ia mengandungi perintah-perintah baginda yang ditujukan kepada pembesar, ulama/agamawan, pentadbir dan rakyat jelata. Ia juga mengandungi surat-surat baginda sebagai perintah, nasihat dan ingatan Baginda kepada rakyat jelata.

Akhir sekali, Sultan Alang Iskandar adalah seorang tokoh yang berjaya menggabungkan di antara keilmuan seorang ulama dan kepimpinan seorang umara. Kitab Risalah Iskandar Syah telah berjaya meletakkan nama baginda sebaris dengan para ulama Nusantara di Alam Melayu. Andai kitab ulama terdahulu dikarang oleh seorang Syeikh, kitab ini pula disusun oleh seorang Sultan, sesuatu yang sangat jarang ditemui dan unik. Rahmat dan keampunan Allah dipohonkan ke atas Paduka Seri Sultan Alang Iskandar Shah ibni Almarhum Sultan Idris Shah, Marhum Qaddasahullah, Sultan Negeri Perak yang ke-30. Allahumma amin.