Penganjuran Kursus Pengurusan Sukan Modul 1 Bersama Persatuan Pengurusan dan Pentadbiran Sukan Malaysia

Persatuan Pengurusan dan Pentadbiran Sukan Malaysia (SMAS) telah menganjurkan Kursus Sijil Pengurusan Sukan Modul 1 pada 21 dan 22 Oktober 2023 bertempat di Bilik Seminar Amra, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kursus selama dua hari ini terdiri daripada pentadbir dan pegawai daripada beberapa persatuan sukan di Malaysia antaranya Persatuan Footgolf Malaysia, Persatuan Lion Dance Malaysia, Persatuan Boling Padang Malaysia dan lain-lain. Terdapat juga jurulatih dan juga pengadil beberapa sukan penting di Malaysia turut hadir bagi memperkasakan kemahiran dan juga pengetahuan berkenaan pengurusan sukan di Malaysia bagi membangunkan persatuan sukan masing-masing.

Peserta didedahkan dengan sistem dan struktur pentadbiran di Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan dan juga agensi-agensi yang terlibat di bawahnya untuk pembangunan sukan dan belia negara seperti peranan Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Pesuruhjaya Sukan termasuklah fungsi Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Negara juga turut dibentangkan kepada peserta kursus. Kursus mendapat maklumbalas yang positif daripada peserta-peserta dan kebanyakan daripada peserta berminat menyambung untuk Kursus Pengurusan Sukan Modul 2 di masa akan datang.

Penulis : adlisidi[at]uitm.edu.my